ISKANDAR PUTERI – Polis mengesahkan seorang lelaki meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Nusa Bestari di sini kelmarin yang dikaitkan dengan kes jenayah curi kabel.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, dua lelaki tempat berusia 22 dan 34 tahun parah di kaki dan kepala.
“Bagaimanapun pada pukul 10 pagi semalam, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
“Selepas itu polis mengesan satu rakaman video tular di media sosial Facebook dan mendapati terdapat unsur jenayah curi kabel di sebalik insiden kemalangan itu.
“Pihak syarikat utiliti di Johor Bahru turut membuat laporan polis berhubung kerosakan aset mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, insiden tersebut membabitkan sebuah kereta dan motosikal, pada awalnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri sebelum ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM 1998) bagi kesalahan kerosakan kepada rangkaian.
“Usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan. Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak sendiri sekiranya menyaksikan sebarang kejadian jenayah,” katanya.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah trak pikap Toyota Hilux dipercayai merempuh orang awam yang cuba menghalang kecurian. Dalam video sama, kelihatan beberapa buah motosikal mengalami kerosakan selain terdapat kaki seorang lelaki berada di bawah kereta Proton Wira.














