KAHERAH – Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dalam kebakaran di Kaherah semalam, kata kementerian kesihatan, selepas sebuah lori tangki minyak terbalik di lebuh raya yang sesak.
Rakaman AFP menunjukkan bebola api besar dan asap hitam tebal naik ke udara di kejiranan Al-Waraq yang padat dengan penduduk, dengan pemandu-pemandu membunyikan hon ketika bergegas untuk menyelamatkan diri. Bangunan sekitar bagaimanapun terselamat daripada api.
Media tempatan melaporkan, kebakaran tercetus apabila sebuah lori tangki minyak terbalik dan terbakar di Jalan Lingkaran Kaherah iaitu lebuh raya sesak yang menghubungkan pelbagai kawasan di Kaherah.
Api kemudian menyambar kenderaan berhampiran.
Kementerian kesihatan berkata, 39 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian dan 15 orang dibawa ke hospital kerana kecederaan, empat daripada mereka kritikal.
“Keadaan di tempat kejadian sangat menakutkan,” kata saksi kejadian, Abdel Rahman Khalil kepada AFP, sambil menambah, dia tiba tidak lama selepas kemalangan berlaku dan melihat lori tangki yang terbalik serta dijilat api.
Pendakwa raya Mesir berkata, siasatan telah dibuka dan ujian DNA sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa yang rentung.
Tangga kecemasan, sensor asap dan alat penggera kebakaran jarang ditemui, manakala di kebanyakan kawasan, lorong-lorong sempit menyukarkan jentera bomba untuk sampai ke lokasi bencana.
Tahun lepas sahaja, hampir 6,000 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara, demikian menurut agensi perangkaan Mesir. – AFP














