Tangkap layar hantaran tular di Thread mengenai dakwaan kertas peperiksaan subjek Pendidikan Moral bocor.

Dakwaan kertas Pendidikan Moral SPM bocor tidak tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan Pendidikan Moral Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang tular di media sosial hari ini didapati tidak menepati tafsiran kebocoran soalan.

Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, hasil semakan dan penelitian mendapati hantaran berkenaan dikesan pada pukul 11.44 pagi, iaitu selepas peperiksaan Pendidikan Moral tamat pada pukul 10.45 pagi.

Menurut kenyataan LP, dakwaan itu tidak menepati tafsiran kebocoran soalan seperti yang diperuntukkan dalam Dasar Pentaksiran Kebangsaan Edisi Ketiga Tahun 2023.

Bagaimanapun, LP menegaskan kertas peperiksaan Pendidikan Moral merupakan dokumen terperingkat berstatus sulit.

“Sebarang tindakan mengambil gambar, menyalin atau menyebarkan kandungan kertas peperiksaan tanpa kebenaran merupakan suatu pelanggaran terhadap tatacara pengendalian dokumen terperingkat dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LP berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu selain mempergiat pemantauan di pusat peperiksaan dengan kerjasama jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD).

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang terkesan dengan hantaran berkenaan digalakkan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, orang ramai turut diseru supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi sehingga menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan calon, ibu bapa serta masyarakat.

LP menegaskan komitmennya untuk memastikan integriti, kerahsiaan dan kredibiliti peperiksaan awam terus terpelihara selain kepentingan serta hak setiap calon sentiasa dilindungi.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dakwaan kebocoran soalan mata pelajaran Pendidikan Moral SPM 2026 mencetuskan kebimbangan ramai selepas beberapa tangkap layar tular di media sosial hari ini.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads @sh1man_, beberapa keping gambar didakwa kertas soalan serta skema jawapan dikongsikan bagi menarik perhatian pihak berkuasa.

Pengguna tersebut turut menandai akaun rasmi LP dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN