SHAH ALAM – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha menutup bahagian benteng yang pecah di kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua pam bergerak turut digunakan bagi membantu mempercepat proses menyurutkan air di kawasan berkenaan, selain pam statik sedia ada.
“Petang ini, saya meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, Kuala Langat bagi menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir serta mendapatkan taklimat terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Langat dan JPS.
“Saya turut turun ke lokasi ban yang pecah untuk melihat sendiri keadaan serta kerja-kerja pemulıhan yang sedang dilaksanakan.
“Kejadian banjir pagi tadi berpunca daripada ban yang pecah akibat aliran air yang luar biasa deras dari kawasan Hulu Langat dan Sepang serta fenomena air pasang besar,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Amirudin berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan serta mengambil langkah sewajarnya bagi menangani situasi itu, dengan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas kekal sebagai keutamaan.
Setakat petang tadi, dua PPS dibuka di Kuala Langat akibat kejadian itu, iaitu PPS SK RTB Bukit Changgang dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu dengan masing-masing menempatkan 147 dan 16 mangsa.
Sepang pula menjadi daerah terbaru dilanda banjir susulan pengaliran air dari benteng pecah itu dan air pasang besar serta hujan, dengan tiga PPS mula beroperasi hari ini melibatkan Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali sebanyak 122 orang, Dewan Orang Ramai Dengkil (49) dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (15).
Selain itu, empat PPS di Kuala Selangor masih beroperasi berikutan banjir termenung, iaitu SK Dato’ Maharaja Lela yang menempatkan 313 mangsa, Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan (158) diikuti, Sekolah Agama Batu 8 Ijok (108), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (30). — BERNAMA














