PETALING JAYA – Selepas sekian lama dinanti peminat muzik rock tempatan, kumpulan nu-metal terkenal Amerika Syarikat (AS), Limp Bizkit, akhirnya bakal mengadakan persembahan sulung di Malaysia menerusi konsert Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show pada 9 Disember depan.
Konsert anjuran Hitman Live dan Hitman Solutions itu dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, bermula pukul 8 malam.
Lebih istimewa, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya persinggahan jelajah Asia kumpulan berkenaan sepanjang 2026, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan menyaksikan sendiri aksi bertenaga kumpulan yang sinonim dengan genre nu-metal itu.
Dikenali menerusi lagu popular seperti Rollin’, My Way, Break Stuff dan Nookie, Limp Bizkit dijangka menghangatkan pentas menerusi deretan karya yang pernah mencetuskan fenomena dalam arena muzik rock antarabangsa.
Kehadiran kumpulan itu pastinya menjadi momen dinanti-nantikan peminat yang sekian lama mengikuti perjalanan muzik mereka, apatah lagi Malaysia dipilih sebagai satu-satunya destinasi jelajah Asia bagi tahun ini.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket, pembelian boleh dibuat menerusi platform Ticket2U dan Megatix serta laman rasmi penganjur, Hitman Live. Maklumat lanjut mengenai konsert dan penjualan tiket boleh didapati menerusi platform berkenaan. – KOSMO! ONLINE














