SEREMBAN – Krisis pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan masih belum menemui jalan penyelesaian, namun difahamkan tiga pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini pada Khamis ini.
Menurut sumber, tiga pemimpin itu terdiri daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tujuan menghadap adalah untuk mengemukakan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.
“Dimaklumkan, Tuanku Muhriz berkenan menerima mereka menghadap pada tarikh tersebut, tapi tidak pasti jika saat akhir ia terpaksa dibatalkan,” katanya.
Sumber berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN juga telah diarahkan oleh kepimpinan parti supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut yang sedang berlaku bagi mengelak keadaan menjadi lebih keruh.
Jelas sumber, parti sedang berusaha menyelesaikan krisis itu, termasuklah berkaitan Menteri Besar.
Sebelum ini, media melaporkan pada malam Jumaat lalu, seramai 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan dalam menentukan penyelesaian kemelut politik berkenaan.
Keputusan itu dibuat selepas sesi perjumpaan khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan dengan mesyuarat dipengerusikan oleh Mohamad.
Mesyuarat itu diadakan susulan pendedahan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang memaklumkan bahawa beliau tidak pernah memberikan persetujuan supaya surat peletakan jawatannya bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
ADUN Juasseh itu turut menegaskan bahawa beliau hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan yang diumumkan pimpinan BN menerusi laporan media.
Semalam, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd. Fasha Musthafa memaklumkan Ismail sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini, namun keadaan beliau semakin pulih. – KOSMO! ONLINE














