PETALING JAYA – Malaysia berpotensi muncul sebagai hab penyimpanan minyak serantau susulan peningkatan permintaan pengeluar minyak antarabangsa yang mahu menjadikan Asia sebagai lokasi strategik menyimpan bekalan petroleum.
Peluang itu perlu dimanfaatkan menerusi pembangunan Pengerang di Johor sebagai pusat penyimpanan minyak dan hab tenaga serta maritim bagi menarik pelaburan asing, menjana pekerjaan dan merancakkan ekonomi tempatan.
Tokoh industri maritim, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, Malaysia tidak seharusnya hanya menumpukan kepada penambahan kapasiti tangki penyimpanan, sebaliknya perlu membangunkan ekosistem industri lebih menyeluruh.
Menurutnya, pengeluar minyak dari Timur Tengah semakin melihat Asia sebagai lokasi strategik menyimpan minyak mentah bagi melindungi bekalan daripada kemungkinan gangguan susulan ketegangan geopolitik.
“Persoalan lebih besar bukanlah berapa banyak lagi tangki minyak yang boleh dibina, tetapi bagaimana Malaysia dapat menjadikan Pengerang sebagai aset strategik bagi menjamin keselamatan tenaga serantau,” katanya.
Pengerang mempunyai kelebihan strategik termasuk pelabuhan laut dalam, kedudukan berhampiran laluan perkapalan antarabangsa serta keupayaan menerima kapal tangki minyak bersaiz sangat besar.
Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd. berkata, pembangunan Pengerang perlu turut merangkumi aktiviti perkapalan, logistik dan perkhidmatan maritim.
Sekali gus ia membuka peluang kepada syarikat tempatan termasuk pengendali pengangkutan, firma kejuruteraan, kontraktor serta perusahaan kecil.
“Aktiviti ekonomi yang lebih rancak di Pengerang mampu membuka peluang kepada syarikat perkapalan, pengendali pengangkutan, penyedia perkhidmatan marin, firma kejuruteraan, kontraktor tempatan serta perusahaan kecil,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama menarik pelabur antarabangsa, memperkemas proses kelulusan serta menyediakan infrastruktur sokongan mencukupi bagi meningkatkan daya saing Malaysia berbanding pusat penyimpanan minyak sedia ada seperti Singapura.
“Peluang ini bukan sekadar membina lebih banyak tangki minyak. Ia adalah mengenai usaha mewujudkan lebih banyak perniagaan, menarik pelaburan dan menjadikan Malaysia rakan strategik tenaga yang penting bagi Asia,” katanya.-KOSMO! ONLINE














