PETALING JAYA – Sebilangan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Jasin, Melaka didakwa dihidangkan lauk ayam masak kicap tidak sempurna sewaktu makan malam di dewan selera institusi tersebut, hari ini.
Masalah itu kemudian diadukan beberapa pelajar dan ibu bapa kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mana beliau berkongsi kejadian itu berserta beberapa gambar pada hantaran di media sosialnya.
“Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca WhatsApp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.
“Ada beberapa pelajar dan ibu bapa dari MRSM Tun Ghafar Baba yang hubungi saya mengadu berkenaan penyediaan makanan di dewan selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna,” katanya pada hantaran berkenaan.
Berkongsi laporan awal kejadian tersebut, beliau berkata, pada pukul 6.40 petang, lauk ayam masak kicap telah habis menyebabkan sebilangan besar pelajar terpaksa menunggu sehingga pukul 7.10 malam untuk mendapatkan hidangan tambahan yang dimasak semula.
“Walau bagaimanapun, ayam masak kicap yang disediakan semula didapati tidak dimasak dengan sempurna.
“Pihak dewan selera memberikan gantian dengan yang lain, manakala pihak kami akan memberikan makanan gantian kepada pelajar yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau juga meminta semakan daripada pihak pengurusan dan mendapati rupa-rupanya kontrak penyedia makanan di situ hanya berbaki sebulan sahaja lagi.
“Sudah semacam satu ‘trend’ apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
“Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Saya sudah minta pengetua segera siasat dan ambil tindakan tegas malam ini juga.
“Kasihan anak-anak pelajar yang bukan ramai berkemampuan untuk beli makanan alternatif di kafe atau koperasi. Apatah lagi buat pelajar-pelajar tingkatan lima yang sedang menduduki peperiksaan SPM,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, baru beberapa minggu lalu, beliau melakukan ‘terjah’ di MRSM tersebut dan memberi amaran kepada penyelia dewan selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai ditetapkan Mara.
“Apa-apa pun saya telah minta Pengurusan Mara khususnya Bahagian Pendidikan Menengah untuk ambil tindakan segera malam ini juga untuk selesaikan isu ini.
“Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitam daripada mendapat apa-apa manfaat Mara pada masa akan datang.
“Ingatlah keuntungan diperolehi daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan, malah menjadi asbab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














