KANGAR – Air mata seorang pekerja pembersihan sekolah mengalir apabila lebih 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 mendapatkan restunya sebelum memasuki dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini semalam.
Rohana Mat Taib, 63, berkata, dia tidak menyangka dirinya yang sekadar bekerja sebagai tukang cuci sekolah turut diberi penghargaan oleh ratusan pelajar, apatah lagi pada detik penting yang bakal menentukan masa depan mereka.
“Saya sebak mereka datang mohon restu, sedangkan saya cuma pekerja pembersihan di sekolah ini.
“Pelajar-pelajar ini sangat baik, tidak pernah membezakan pangkat dan darjat walaupun saya tahu mereka daripada keluarga berada, saya anggap mereka semua seperti anak-anak sendiri,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, sikap menghormati orang lain yang ditunjukkan pelajar sekolah itu bukan hanya ketika menjelang peperiksaan, malah menjadi amalan mereka sepanjang berada di sekolah.
“Pada hari-hari biasa pun mereka tidak pernah jemu menyapa saya, malah ada kalanya turut membantu saya melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Saya doakan semua anak-anak SMK Derma berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan ini, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat,” katanya.
Seramai 3,838 calon menduduki SPM tahun ini membabitkan 37 pusat peperiksaan di seluruh negeri Perlis, merangkumi 3,664 calon sekolah dan 174 calon persendirian.














