Johari menegur menteri dan timbalan masing-masing yang masih gagal mengemukakan jawapan bertulis.

Menteri, timbalan ditegur gagal beri jawapan bertulis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menegur menteri dan timbalan masing-masing yang masih gagal mengemukakan jawapan bertulis kepada soalan dikemukakan Ahli Parlimen selepas memberi jaminan menyediakannya.

Teguran itu dibuat selepas Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) membangkitkan bahawa banyak soalan yang dijanjikan untuk dijawab secara bertulis oleh menteri atau timbalan menteri masih belum diterima sehingga kini.

Awang Solahuddin berkata, kelewatan itu menyukarkan Ahli Parlimen mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada kementerian berkaitan mengenai perkara yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.

“Tan Sri Speaker, saya ada satu aduan. Masih banyak soalan yang menteri atau timbalan menteri berjanji untuk menjawab secara bertulis, tetapi sehingga kini saya masih belum menerima jawapannya.

“Jadi, saya ingin membawa perkara ini kepada perhatian Tan Sri,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai reaksi kepada aduan itu, Johari meminta Awang Solahuddin menyenaraikan semua soalan yang masih belum dijawab supaya perkara berkenaan dapat diteliti dan tindakan susulan diambil.

Katanya, beliau akan mendapatkan penjelasan secara peribadi daripada menteri yang berkenaan selepas jam 11.30 pagi.

“Ini jawapan saya. Sebentar lagi, sekarang juga, bukan sebentar lagi, Yang Berhormat tuliskan semua soalan yang belum dijawab.

“Selepas jam 11.30 pagi, saya akan ikut untuk mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Awang Solahuddin mengemukakan soalan tambahan berhubung cadangan untuk memperluas julat pendapatan bercukai yang layak menikmati kadar cukai 15 peratus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluas julat pendapatan yang layak menikmati kadar berkenaan sekiranya kerajaan tidak bersedia menurunkan kadar cukai keseluruhan bagi PMKS kepada 15 peratus.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai anggaran kos yang perlu ditanggung kerajaan dan jumlah PMKS yang dijangka mendapat manfaat daripada cadangan itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata kerajaan secara umumnya terbuka terhadap sebarang cadangan, namun maklumat khusus akan dikemukakan menerusi jawapan bertulis.

“Secara umumnya, kerajaan terbuka kepada semua cadangan, tetapi saya akan mengemukakan data yang diminta melalui jawapan bertulis,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN