LIPIS – Selepas kira-kira dua tahun ditemui ditinggalkan di ruang solat Masjid Kampung Lubuk Kulit di sini, identiti seorang bayi perempuan masih menjadi tanda tanya apabila sehingga kini tiada waris yang datang menuntut bayi berkenaan.
Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Lipis, Siti Noraniza Omar berkata, pihaknya masih giat mengesan waris kanak-kanak perempuan berkenaan yang kini berada dalam jagaan orang yang layak dan sesuai di bawah Seksyen 30 (1) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Sehubungan itu, ibu bapa, waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai identiti serta keluarga kanak-kanak ini dimohon tampil atau menghubungi Pelindung Kanak-Kanak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Lipis.
“Maklumat yang disalurkan amat penting bagi membantu usaha mengesan waris demi kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Siti Noraniza, kanak-kanak tersebut telah ditinggalkan dan ditemukan di Masjid Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis, pada 18 Jun 2024, tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Beliau memberitahu susulan penemuan tersebut, kanak-kanak berkenaan telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk pemeriksaan lanjut dan sehingga kini berada dalam keadaan sihat.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan kira-kira 20 orang ahli jemaah lelaki dan wanita ‘gempar’ apabila mendengar suara seorang bayi merenggek dan menangis di ruang solat Masjid Kampung Lubuk Kulit.
Ketika tiba di masjid kira-kira pukul 5.30 pagi 18 Jun 2024 para jemaah terkejut apabila mendengar seorang bayi merenggek dan menangis perlahan berdekatan dinding ruang solat wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Kulit, Mazlan Jali dilaporkan berkata, dia yang baru melangkah masuk ke masjid terdengar suara jemaah wanita yang mengelilingi bayi berkenaan.
Katanya, bayi perempuan ini ditemui oleh jiran yang tinggal berdekatan masjid yang datang lebih awal lalu memaklumkan kepada jemaah lelaki yang baru sampai untuk menunaikan solat.
Ujarnya, ketika ditemui, bayi yang berusia beberapa hari ini diletakkan di atas sejadah berlipat dan diselimuti dengan kain kelihatan sedar apabila jemaah wanita mendekatinya. – KOSMO! ONLINE














