HAMPIR setahun bergelut dengan emosi, Julia Farhana kini terbuka membicarakan kisah kehancuran rumah tangganya dan bagaimana dia bangkit memulakan hidup baharu kepada umum.

Keluar rumah sehelai sepinggang, bercerai berat turun 15kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bagaikan sehelai sepinggang! Itu gambaran paling tepat mengenai situasi getir yang terpaksa dilalui pelakon jelita, Julia Farhana Marin apabila nekad melangkah keluar dari kediaman kelamin hanya berbekalkan pakaian di badan dan sebuah beg tangan selepas mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz, setahun lalu.

Julia, 32, yang kini sedang melalui proses perceraian berkata, dia terpaksa memulakan kehidupan baharu tanpa sebarang barang peribadi seperti pakaian selepas meninggalkan kediaman tersebut. Ketika keluar dari rumah, dia hanya membawa sebuah beg tangan dan pakaian yang tersarung di tubuhnya semata-mata.

“Bagi mereka yang belum tahu, saya sudah berpisah dengan suami dan kami kini sedang melalui proses perceraian.

“Saya keluar dari rumah hanya memakai baju di badan, sepasang kasut dan membawa satu beg tangan yang berisi barangan keperluan penting seperti kad pengenalan, malah saya terlupa membawa pasport yang akhirnya diambilkan oleh pembantu saya.

“Sejak hari itu saya tidak pernah berjumpa dengannya lagi, tak pulang ke rumah tersebut dan saya sendiri tidak tahu di mana kunci rumah itu berada,” katanya menerusi program audio siar The Fitting Room.

Menurutnya, fasa awal perpisahan tersebut memberi kesan emosi yang mendalam sehingga dia mengambil keputusan menghentikan sementara semua aktiviti seni dan perniagaan bagi memberi ruang kepada diri sendiri untuk pulih.

“Bila anda melalui pengalaman hidup yang sangat besar dan mengubah segalanya, otak seolah-olah berhenti berfungsi selama beberapa bulan sehingga untuk bangun pagi pun terasa sangat sukar.

“Malah, berat badan saya turun sehingga 15 kilogram pada waktu itu. Saya memilih untuk menyertai dunia korporat dan bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang bagi mendapatkan kestabilan dari segi kewangan, emosi serta mental.

“Semua itu bagi mengelakkan diri daripada ditanya soalan mengenai hal peribadi ketika masih belum bersedia untuk berkongsi,” katanya lagi.

Dalam tempoh sukar itu, dia bersyukur apabila menerima sokongan daripada rakan-rakan industri termasuk Bella Astillah, Chazynash dan Nelydia Senrose yang membantunya tanpa menghakimi keadaan rumah tangganya.

“Salah seorang individu terawal yang menghubungi saya adalah Bella dan saya terus menangis selepas panggilan itu kerana tersentuh apabila seseorang yang berada di puncak kerjaya sudi meluangkan masa bertanyakan khabar tanpa sebarang soalan yang menghakimi.

“Begitu juga dengan Nelydia yang merupakan antara orang pertama menghulurkan bantuan, malah pakaian yang saya pakai hari ini adalah pemberian rakan-rakan kerana saya belum sempat membeli-belah dan perlu mengutamakan keperluan memulakan hidup baharu dari kosong,” katanya.

Selepas hampir setahun berpisah, Julia kini lebih selesa berkongsi pengalaman tersebut dan memilih untuk menjaga hubungan baik serta menghormati privasi kedua-dua pihak.

“Kini setelah hampir setahun berpisah, saya lebih selesa untuk berkongsi kerana tiada apa yang ingin saya katakan melainkan perkara yang baik-baik sahaja mengenai perkahwinan tersebut, bekas pasangan dan pengalaman yang dilalui serta saling menghormati privasi masing-masing,” ujarnya.

Mengulas proses pemulihannya, dia berkata, doa kepada Tuhan merupakan salah satu kekuatan terbesar untuk dirinya bangkit dari fasa kekecewaan.

“Pada bulan ketiga perpisahan, saya rasa sangat hancur dan hilang arah walaupun sudah mencuba pelbagai cara untuk pulih.

“Saya duduk di tepi tingkap sambil memandang ke arah bulan dan mula berbual dengan Tuhan selama sejam untuk mengadu apa yang saya mahukan dalam hidup serta memohon agar hati saya disembuhkan dan ditunjukkan jalan yang benar.

“Nasihat saya kepada mereka yang sedang berjuang sendirian, ingatlah bahawa Tuhan sentiasa ada bersama kita, dan jangan takut untuk melangkah keluar meminta bantuan daripada orang sekeliling bagi mendapatkan sokongan,” jelasnya.

Pada 13 Ogos lalu, Julia memaklumkan dia bakal memfailkan perceraian terhadap suaminya selepas hampir setahun melalui kemelut rumah tangga.

Katanya, dia dan Che Hafiz sudah tidak lagi bersua muka dan keputusan untuk berpisah merupakan persetujuan bersama.

Terdahulu, kemelut perkahwinan Julia dan Che Hafiz menjadi bualan hangat apabila kedua-duanya memadam foto bersama serta tidak lagi saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.

Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN