KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,263 kes membabitkan biosekuriti dengan nilai penguatkuasaan RM89.7 juta direkodkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kes biosekuriti mencatatkan nilai penguatkuasaan tertinggi daripada keseluruhan RM322.74 juta yang direkodkan agensi itu sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan peranan AKPS bukan sahaja tertumpu kepada keselamatan fizikal dan ekonomi negara, malah turut menjadi benteng utama dalam membendung penyeludupan hidupan liar.
“Kawalan sempadan berwibawa oleh AKPS bukan sahaja melindungi keselamatan fizikal dan ekonomi, malah menjadi benteng utama dalam membendung penyeludupan hidupan liar serta ancaman pelarian cukai.
“Ini dibuktikan menerusi rekod kejayaan penguatkuasaan AKPS dari Januari hingga Oktober berjumlah RM322.74 juta. Daripada jumlah tersebut, kategori biosekuriti menjadi nilai yang tertinggi mencecah RM89.7 juta dengan 9,263 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, hari ini.
Difahamkan, biosekuriti merangkumi kawalan terhadap kemasukan haiwan hidup, tumbuhan, hasil pertanian, produk berasaskan haiwan serta hidupan liar di pintu masuk negara bagi mencegah penyebaran penyakit, perosak dan organisma berbahaya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, usaha membanteras penyeludupan hidupan liar memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat bagi memastikan khazanah alam semula jadi negara terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membeli haiwan atau produk hidupan liar yang diperoleh secara haram selain menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan penyeludupan.
“Saya menyeru masyarakat agar bersama-sama memupuk kesedaran sivik bagi menyokong pemeliharaan alam, menolak pembelian haiwan atau produk hidupan liar yang diperoleh secara haram serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan.
“Khazanah ini adalah amanah generasi kita untuk diwariskan kepada anak cucu pada masa akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














