PETALING JAYA – “Semoga terus jadi orang baik wahai anak lelaki ku.”
Demikian doa seorang ibu buat anak lelakinya, Muhammad Faith Zaarif, selepas tersentuh melihat tindakan anaknya membantu seorang pak cik memotong kuku selepas sesi latihan bola sepak.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @cikjah_pekjah, wanita itu berkata, kejadian berlaku ketika dia datang mengambil anaknya selepas selesai menjalani latihan bola sepak.
Menurutnya, dari jauh dia melihat anak lelakinya sedang membongkok dan tidak menyangka anaknya sedang membantu seorang pak cik memotong kuku.
“Pergi ambil anak teruna latihan bola, dari jauh nampak terbongkok-bongkok. Ingatkan tengah buat apa, rupanya dia tengah tolong pak cik ni potongkan kuku. Semoga terus jadi orang baik wahai anak lelaki ku,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap prihatin anak lelaki itu selain mengucapkan tahniah kepada ibu bapanya kerana berjaya mendidiknya menjadi seorang yang mempunyai empati tinggi.
“Tahniah mak ayah, anda membesarkan dan mendidik anak yang ada empati yang tinggi,” komen @alice.ace105.
“Semoga rezeki awak mengalir macam air zamzam, dik. Untuk mak dan ayah awak, tahniah sebab didik anak yang sangat-sangat hebat!” tulis @shebieyla pula.
“Terima kasih sis sebab ajar anak menjadi insan yang baik. Semoga ketika adik dah besar menjadi seorang insan yang soleh dan bertanggungjawab,” komen @useghaamirah.
“Alhamdulillah, terharunya tengok. Terima kasih sebab mendidik dia untuk jadi orang yang baik-baik,” tulis rini_lyana. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














