SHAH ALAM – Dikritik stamina kurang memuaskan, penyanyi Zahid mengakui mendapatkan rawatan suntikan ubat diabetes yang dijadikan alternatif untuk menurunkan berat badan demi kecergasan di pentas Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 45, mendedahkan langkah tersebut dimulakan sejak dua minggu lalu selepas menerima tawaran daripada sebuah klinik, selain turut mengawal pemakanan dan bersenam secara konsisten.
“Saya memang jaga stamina dan cucuk mounjaro. Saya baru bermula dua minggu lalu apabila ada satu klinik tawarkan.
“Jadi saya putuskan untuk buat tapi dalam masa sama doktor kata jangan harapkan benda ini saja, saya kena ‘cut sugar’ (potong gula), jaga kuantiti pemakanan dan bersukan,” katanya selepas konsert minggu ketiga GVF, semalam.
Berkongsi lanjut, juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu bersyukur apabila rawatan berkenaan mula menunjukkan hasil positif apabila berat badannya susut sebanyak 2.5 kilogram (kg) dalam tempoh singkat.
“Selepas dua minggu saya turun 2.5kg dan doktor kata nombor yang baik untuk turunkan berat badan. Ukur lilit saya pun dah turun dua inci.
“Saya tak nampak tapi doktor yang periksa. Doktor minggu ini pun cucuk 2.5 miligrams (mg) kemudian baru naik dos.
“Alhamdulillah tak ada kesan, cuma selepas sehari cucuk saya mengantuk dan lemau seharian. Tapi okeylah tak ada muntah-muntah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zahid mengakui tidak mengambil hati dengan komen juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang yang menegur persembahannya kelihatan mengah.
“Sebelum saya masuk GV memang saya tak jaga pun pemakanan dan stamina, sebab saya dah menyanyi di kelab 12 ke 15 lagu, saya rasa okey.
“Tapi bila dalam GV, satu lagu dalam dua minit lebih rasa macam menyanyi lebih daripada 20 lagu penatnya. Tok Ram dan Bunda pun cakap stamina di pentas besar ini berlainan dengan menyanyi dalam show lima ke enam lagu.
“Memang saya tak terasa hati sebab itu adalah satu komen dan kritikan yang saya perlu tambah baik. Saya di atas pentas memang tak nampak apa-apa, mereka yang boleh menilai saya,” jelasnya.
Selepas tiga minggu bersaing di pentas GVF, Zahid sering menerima komen tentang tahap staminanya yang kurang memuaskan.
Komen tersebut mendorongnya aktif bermain pickleball untuk meningkatkan kecergasan.
Malam tadi, Zahid menduduki tempat teratas selepas menyanyikan lagu Biar Bulan Bicara nyanyian asal Broery Marantika dengan markah 62.20 peratus. – KOSMO! ONLINE














