PETALING JAYA – Masih asing di mata peminat sinema tanah air, namun lakonan cemerlang menerusi filem Sayang Sayang melayakkan pelakon Nandagopal Mohan atau Nanda dijulang sebagai Pelakon Baharu Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-63 di Taipei, Taiwan, semalam.
Nanda, 26, berkata, kemenangan tersebut cukup bermakna buat dirinya, apatah lagi apabila tidak menyangka akan membawa pulang trofi berprestij tersebut.
Nanda menyifatkan wataknya sebagai Ajay yang juga orang kurang upaya (pekak dan bisu) dalam filem tersebut antara faktor utama kejayaannya.
“Terima kasih dan paling utama, saya ingin berterima kasih kepada Ajay.
“Seorang insan yang sangat rapat dengan saya pernah berkata, pengarah yang memilih kita untuk melakonkan sesuatu peranan tetapi watak itu sendiri juga perlu memilih siapa yang layak menjayakannya.
“Terima kasih Ajay kerana memberi peluang kepada saya untuk menceritakan kisah kamu,” katanya dalam ucapan kemenangan.
Dia bahkan turut mendedikasikan kemenangannya kepada semua individu yang melalui nasib serupa.
“Saya juga ingin mendedikasikan anugerah ini kepada semua individu di luar sana yang senasib dengan Ajay, yang berasa diri ditindas, didiamkan dan suara mereka tidak didengari.
“Saya berharap melalui kisah Ajay, kalian semua menerima dan menghargai diri sendiri seadanya. Terima kasih semua,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Nanda tidak ketinggalan menitipkan ucapan terima kasih buat keluarga yang menjadi tulang belakang sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan.
“Sayang Sayang ialah sebuah filem mengenai kasih sayang dan kekeluargaan. Jadi, saya ingin berterima kasih kepada keluarga yang sentiasa menyokong dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada saya,” ujarnya.
Pelakon itu turut menzahirkan penghargaan terhadap seluruh pasukan produksi filem arahan Tang Hsiang-Chu tersebut.
“Terima kasih kerana tidak pernah jemu memberi inspirasi kepada saya bagi melakukan yang terbaik dan menanam semangat untuk terus bermimpi serta mengejarnya.
“Terima kasih juga kepada keluarga Sayang Sayang terutama pengarah, Tang yang memiliki jiwa penuh kasih sayang dan sentiasa menyebarkan cinta tanpa syarat kepada semua orang serta barisan pelakon yang hadir di sini iaitu Farah Ahmad dan Ong Ai Leng.
“Tidak dilupakan pelakon lain yang berada di Malaysia, barisan penerbit dan seluruh kru produksi. Terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan kalian semua terhadap saya,” ujarnya.
Selain Nanda, pelakon filem sama iaitu Mhia Firdaus turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon Melayu pertama menerima pencalonan kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam anugerah berprestij tersebut.
Menerusi naskhah berkenaan, Nanda memegang watak sebagai remaja yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan namun memiliki minat mendalam dalam seni tarian.
Meski tanpa dialog, Nanda berjaya meruntun jiwa penonton menerusi ekspresi wajah, bahasa isyarat dan tarian.
Filem Sayang Sayang terbitan bersama Astro Shaw yang masih ditayangkan di pawagam menampilkan barisan pelakon seperti Amir Ahnaf, Farah Ahmad, Lee Leezen, Ong Ai Leng dan Vemanna Appannah. – KOSMO! ONLINE














