Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (empat dari kanan) menghadiri majlis pecah tanah tanah projek pembesaran Mahkota Specialist Hospital baru-baru ini.

Pelaburan berterusan perkukuh HMI Medical

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HMI Medical telah berada dalam industri perubatan sejak 28 tahun lalu dan membina tapak kukuh di Singapura dan Malaysia melalui penawaran perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HMI Medical, Chin Wei Jia berkata, hospital milik Kumpulan memiliki pengalaman luas dalam menawarkan khidmat kepada pelanggan daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang dan penyakit, selain terus memenuhi keperluan komuniti serta masyarakat setempat.

“Kami telah melancarkan identiti jenama baharu seiring dengan pengukuhan rangkaian perniagaan, yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan dalam rangkaian penjagaan kesihatan sedia ada.

“Ia sekali gus memudahkan pesakit menyedari bahawa di mana-mana sahaja mereka menerima rawatan dalam HMI Medical, mereka adalah sebahagian daripada satu rangkaian penjagaan kesihatan serantau yang dipercayai dan komited menyediakan penjagaan berkualiti tinggi yang berpaksikan pesakit,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, entiti baharu itu juga mencerminkan aspirasi Kumpulan untuk membawakan lebih banyak kepakaran, pengalaman dan penjagaan dipercayai lebih dekat dengan pesakit di seluruh rantau ini.

KOSMO!: Apa inisiatif HMI Me­dical untuk meningkatkan imej negara sebagai destinasi pen­jagaan perubatan?

CHIN WEI JIA: Malaysia telah membina kelebihan nyata dalam pelancongan perubatan, dengan kira-kira 1.85 juta pelancong direkodkan tahun lalu, manakala merujuk kepada kenyataan Kementerian Kesihatan, kerajaan menyasarkan hasil sehingga RM3 bilion daripada 2.5 juta pelancong.

Ini jumlah yang besar berbanding sekitar 850,000 pelancong dalam segmen ini pada 2022. Untuk mengekalkan momentum ini, kualiti klinikal perlu konsisten di seluruh negara, bukan hanya cemerlang di satu atau dua lokasi.

Sehubungan itu, HMI Medical telah membina rangkaian kukuh di lokasi strategik iaitu Mahkota Specialist Hospital di Melaka dan Regency Specialist Hospital di Johor. Kedua-dua hospital ini mempunyai pengalaman luas merawat pelancong perubatan, di samping memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Kami juga terus meningkatkan standard penjagaan kesihatan melalui kualiti yang diakreditasi di peringkat antarabangsa, kepakaran dalam bidang pakar dan subpakar, serta perjalanan rawatan pesakit yang tersusun, bermula daripada aspek perta­nyaan pertama sehinggalah ke rawatan susulan.

Wei Jia melihat pelaburan dalam modal insan sebagai elemen penting dalam industri penjagaan kesihatan.

Apakah rancangan untuk fasa pertumbuhan seterusnya di Malaysia?

Buat pertama kali, kehadiran kami akan berkembang me­langkaui Me­laka dan Johor. Kami telah memulakan kerja pecah tanah bagi Regency Specia­list Hospital Ku­ching, hospital swasta pertama ka­mi di Sarawak. Hospital pakar ter­tiari Smart (pu­sat rawatan perubatan tahap tertinggi yang menawarkan kepakaran khusus bagi kes penyakit kompleks serta menginteg­rasikan teknologi digital dalam operasi) dengan 300 katil ini disasarkan dibuka pada 2029, dengan lebih RM400 juta diperuntukkan bagi fasa pertama.

Masyarakat di Borneo sejak sekian lama ter­paksa menempuh jarak jauh untuk rawatan pakar. Dengan membawa lebih banyak keupayaan pakar lebih dekat dengan rumah, pesakit boleh mendapatkan rawatan yang diperlukan sambil kekal dekat dengan keluarga dan insan tersayang sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Selain itu, projek pembesaran hospital kami di Melaka akan meningkatkan kapasitinya kepada 430 katil berbanding 272 katil sebelum ini. Secara keseluruhan, pelaburan ini membantu kami membina rangkaian penjagaan kesihatan yang lebih kukuh.

Apabila penjagaan kesihatan semakin bergerak ma­ju tanpa sempadan, pe­sakit kini mencari penyedia perkhidmatan yang dipercayai dan mampu menyokong mereka dalam pelbagai rawatan dan lokasi.

Bagaimana Kumpulan mela­bur dalam bakat bagi menyokong aspirasi meningkatkan nilai penjagaan kesihatan?

Infrastruktur adalah bahagian mudah, komitmen yang lebih sukar dan penting adalah bakat. Disebabkan faktor tersebut, kami menubuhkan Dana HMI Malaysia Healthcare Workforce 2030, iaitu pelaburan bernilai RM50 juta selama lima tahun.

Penjagaan kesihatan cemerlang bermula dengan melabur da­lam profesional kesihatan yang memiliki kemahiran dan pe­ngalaman untuk memenuhi ke­perluan pesakit yang semakin meningkat dan kompleks.

Dana ini menyokong biasiswa, tajaan pendidikan, latihan silang, penempatan klinikal dalam dan luar negara, serta pembangunan profesional dalam bidang perubatan, kejururawatan, kesihatan bersekutu, pengurusan penjaga­an kesihatan dan sokongan hayat kecemasan.

Kami menjangka dana ini dapat menyokong kira-kira 150 pelajar setiap tahun. Ia memberi manfaat kepada pasukan kami di Melaka dan Johor, di samping membina saluran bakat untuk Kuching, di mana hospital baharu kami dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan.

Pertumbuhan yang hanya menambah bangunan tanpa mela­bur dalam manusia tidak akan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan.

Apa trend penjagaan kesihatan yang diperhatikan oleh HMI Medial dan peluang yang boleh diteroka?

Tiga trend paling menonjol iaitu penduduk di seluruh rantau ini menua dengan pantas, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap penjagaan pakar, kritikal dan kompleks. Selain itu, pesakit semakin bersedia untuk merentas sempadan demi rawatan yang dipercayai. Jangkaan terhadap pengalaman penjagaan kesihatan yang lancar dan bersambung turut meningkat.

Malaysia berada pada kedudukan baik untuk ketiga-tiganya. Negara ini menawarkan kualiti yang diakreditasi di peringkat antarabangsa pada kos berpatutan, disokong oleh rangkaian perhubungan kukuh dan suasana yang mesra kepada pesakit dari luar negara.

Peluangnya adalah untuk bersaing dari segi kepakaran, bukan harga. Pesakit hari ini mencari hasil rawatan yang dipercayai, kepakaran doktor dan pengalaman penjagaan kesihatan yang lancar serta mudah diuruskan.

Dengan melabur dalam keupayaan klinikal, teknologi, bakat penjagaan kesihatan dan rangkaian serantau yang lebih kukuh, kami percaya Malaysia mampu terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN