IPOH – Seorang lelaki warga Myanmar berumur 28 tahun maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highland di sini pada pukul 12.40 tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Lima mangsa iaitu warga Myanmar daripada salah sebuah pikap tersebut iaitu seorang lelaki dewasa 38 tahun, seorang wanita dewasa 32 tahun, dua kanak-kanak perempuan berumur tujuh dan dua tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital terdekat menggunakan ambulans.
“Sementara itu, seorang mangsa lelaki Myanmar berusia 28 tahun menaiki kenderaan yang sama telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan awam,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, maklumat mangsa sebuah lagi Toyota Hilux lain tidak dapat dipastikan kerana mereka telah tiada di lokasi semasa bomba tiba. – KOSMO! ONLINE














