KULAI – Ibarat seperti pepatah orang dulu-dulu ‘kawan makan kawan’, akibat terlalu percaya dengan seorang rakan yang dikenali sejak lapan tahun lalu, seorang pegawai eksekutif berputih mata apabila kerugian RM617,159 selepas terjerat dalam penipuan pinjaman wang dan pelaburan tidak wujud.
Bermula dengan meminjam wang, pinjaman tidak dibayar lagi mangsa ditawarkan pula dengan pelaburan saham dalam perniagaan aksesori kereta kononnya akan memberikan pulangan keuntungan lumayan sebanyak 45 peratus dalam tempoh setahun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 29 tahun, kelmarin.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian bermula pada 2022 apabila suspek meminta mangsa meminjamkan sejumlah wang kepadanya.
Jelasnya, atas dasar percaya kepada suspek yang dikenalinya sejak 2018, mangsa bersetuju dan melakukan pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank lelaki berkenaan.
“Pada 22 Disember 2024, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan menawarkan pelaburan saham dalam perniagaan aksesori kereta dengan janji pulangan keuntungan lumayan sebanyak 45 peratus dalam tempoh setahun.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut kemudiannya melakukan sebanyak 72 transaksi pembayaran ke dalam enam akaun bank tempatan yang berbeza bermula 30 November 2022 hingga 12 Mac lalu,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Seng Lee lagi, mangsa kemudiannya gagal mendapatkan semula wang yang dipinjamkan mahupun pulangan daripada pelaburan berkenaan, malah cubaan mangsa untuk menghubungi suspek juga gagal selepas mendapati nombor telefonnya telah disekat.
Ujarnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














