KUALA LUMPUR – Pelakon utama filem Khadam, Aghniny Haque terkejut dan hampir pengsan apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Khas Juri 1 di Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, sebentar tadi.
Menurut aktres kelahiran Indonesia itu, dia hanya diberitahu untuk menghadiri FFM35 namun tidak tahu-menahu akan membawa pulang trofi malam ini.
“Saya hampir pengsan. Saya tak percaya saya diberikan penghormatan ini di Malaysia.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana diterima baik oleh masyarakat Malaysia. Terima kasih kepada Red Comm di atas peluang ini.
“Ini adalah anugerah pertama saya di FFM dan juga di luar negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media FFM35, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, dia gembira apabila filem Khadam mendapat banyak pencalonan serta kemenangan malam ini.
“Saya turut berbangga apabila Khadam mendapat 12 pencalonan. Saya mengharapkan Khadam menang besar malam ini. Kami semua bekerja keras,” jelasnya.
Aghniny turut meluahkan rasa gembira kerana sahabatnya dari Indonesia iaitu Reza Rahadian turut hadir sebagai penonton FFM35 malam ini.
Anugerah Khas Juri ini kali pertama diperkenalkan oleh FFM bagi mengiktiraf karyawan dari luar negara yang terlibat dalam filem terbitan Malaysia. – KOSMO! ONLINE














