Sebanyak 17 busana eksklusif berinspirasikan pelbagai elemen warisan Perak ditampilkan pereka fesyen, Zachrin Jaafars pada KLFW 2026 baru-baru ini.

Koleksi fesyen mengangkat warisan Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARENA fesyen bukan sekadar medan untuk mengetengahkan kreativiti rekaan, sebaliknya turut menjadi platform untuk menghidupkan identiti budaya serta warisan sesebuah masyarakat.

Pendekatan itu menjadi antara kekuatan yang ditampilkan pereka fesyen tempatan, Zachrin Jaafars menerusi koleksi terbaharunya, TITIPAN: Pertempuran Mendatang, pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 baru-baru ini.

Mengambil inspirasi daripada kekayaan seni dan budaya negeri Perak, koleksi tersebut memperlihatkan usaha Zachrin menterjemahkan keindahan tekstil tradisional kepada rekaan yang lebih segar, moden dan bersesuaian dengan perkembangan fesyen semasa.

Menurut empunya nama Sazrin Jaafar, koleksi ini menampilkan sebanyak 17 busana eksklusif yang bukan sahaja menyerlahkan identiti kreatif, malah membawa kisah perjalanan selama sedekad membangunkan jenamanya dengan sokongan komuniti serta artisan tempatan.

“Penghasilan koleksi tersebut lahir daripada pengalaman bekerjasama dengan tukang jahit, penyulam dan pembatik di sekitar Perak sejak saya membuka perniagaan di Slim River pada 2016.

“Sepanjang tempoh berkenaan, saya menyedari negeri itu mempunyai ramai penduduk yang memiliki kemahiran menghasilkan tekstil dan pakaian tradisional, namun hasil kerja mereka memerlukan ruang lebih luas untuk diketengahkan.” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, perjalanan ini merupakan satu pertempuran untuk mengangkat karya artisan di Perak, membentuk dan membawa mereka bersama-sama bergerak ke hadapan.

Zachrin menjelaskan, kekuatan koleksi itu terletak pada gabungan kepakaran reka bentuk dengan kemahiran tangan artisan yang menghasilkan setiap perincian busana.

Malah, sebahagian besar pasukannya terdiri daripada penduduk setempat termasuk golongan warga emas yang bekerja dari rumah.

Kerjasama tersebut membolehkan kemahiran tradisional terus dimanfaatkan, selain membuka peluang ekonomi kepada komuniti berkenaan.

Katanya lagi, antara elemen utama yang mencuri perhatian dalam koleksi itu ialah penggunaan batik tanah liat yang dihasilkan oleh pembatik dari Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, selain pengusaha tekstil dari daerah Batang Padang dan Muallim.

“Teknik dan corak batik berkenaan memberikan identiti tersendiri kepada setiap busana sekali gus memperlihatkan keunikan seni tekstil Perak yang mempunyai nilai estetika serta sejarah tersendiri.

Seni tekat, motif bunga kelumpang dan corak kelarai diketengahkan pada busana.

“Tidak terhad kepada batik, saya turut menggabungkan seni tekat, motif bunga kelumpang dan corak kelarai yang mendapat inspirasi daripada seni bina Istana Kenangan di Kuala Kangsar,” ujarnya yang juga merupakan seorang pensyarah sambilan dalam bidang fesyen dan tekstil di Universiti Tun Abdul Razak.

Kongsinya lagi, keistimewaan bentuk serta motif labu sayong juga diterapkan sebagai elemen inspirasi dalam penghasilan rekaan, sekali gus memperlihatkan bagaimana objek warisan yang sinonim dengan Perak boleh diterjemahkan menjadi karya fesyen yang mempunyai nilai artistik.

Dari segi penampilan, koleksi tersebut memperlihatkan gabungan tekstil bercorak dengan siluet kontemporari, selain permainan rona biru diraja yang memberikan karakter tersendiri kepada beberapa rekaan.

Sentuhan sulaman dan perincian pada fabrik turut menambahkan dimensi kepada busana, manakala gabungan warna gelap dan keemasan memberikan penampilan lebih dramatik serta berkarakter.

Apa yang menarik, penggunaan elemen tradisional itu tidak menjadikan rekaan berkenaan kelihatan terlalu terikat dengan gaya pakaian warisan.

Sebaliknya, Zachrin memberikan nafas baharu melalui pendekatan potongan dan pengolahan fabrik yang lebih moden.

“Pemilihan nama TITIPAN: Pertempuran Mendatang juga mempunyai makna tersendiri buat saya sebagai pereka fesyen.

“TITIPAN membawa maksud amanah yang perlu dipelihara dan diteruskan kepada generasi seterusnya, manakala Pertempuran Mendatang menggambarkan cabaran, ketabahan serta keazaman untuk memastikan warisan budaya terus relevan dalam dunia yang semakin berubah,” jelasnya.

Bagi melengkapkan persembahan di pentas KLFW, Zachrin turut mengetengahkan interpretasi kontemporari seni dabus iaitu seni persembahan tradisional Perak yang mempunyai kaitan tarian pahlawan.

Elemen tersebut menjadi simbol keberanian serta ketahanan dalam menghadapi cabaran, selari dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi koleksi berkenaan.

Menurut Zachrin, selepas sedekad membangunkan jenama itu di Perak, dia merasakan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan kekayaan seni negeri berkenaan kepada khalayak lebih luas, selain membantu pengusaha batik dan artisan tempatan mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN