JAKARTA – Datuk Bandar Surabaya, Eri Cahyadi menerima aduan seorang pelajar di sekolah menengah SMPN 21 Surabaya yang meluahkan rasa tidak selesa selepas gurunya memeriksa kitaran haidnya dengan mengangkat kain dan melorot seluar dalamnya ke bawah, lapor laman berita DetikJatim.
“Ini adalah laporan daripada seorang pelajar di SMPN 21 Surabaya. Apabila dia sedang datang haid, gurunya memeriksa sama ada dia benar-benar datang haid atau tidak. Pelajar itu rasa tidak selesa,” kata Eri kelmarin.
Menurut mesej yang diterima Eri, pelajar tersebut menulis kronologi kejadian. Pada akhir Oktober 2026, sekolahnya mencatat tempoh haid pelajar.
Eri kemudian meminta Pejabat Pendidikan Surabaya(Dispendik) untuk membuat pemeriksaan terus dengan pihak sekolah. Ketua Dispendik, Febrina Kusumawati kemudian mengesahkan perkara itu dengan Pengetua SMPN 21, Diaztiarni.
Menurut penjelasan pengetua, pemeriksaan haid tersebut merupakan sebahagian daripada prosedur untuk memeriksa pelajar yang tidak menghadiri solat Zohor.
Pejabat Pendidikan juga meminta penjelasan daripada guru dan kakitangan unit kesihatan sekolah.
Hasilnya, dasar itu dilaksanakan kerana ramai pelajar perempuan tidak mengerjakan solat. Guru tersebut berhujah bahawa pemeriksaan dijalankan dengan menurunkan sedikit seluar dalam pelajar, di bilik tertutup oleh guru perempuan, dan hanya semasa pemeriksaan mengejut dilakukan.
Febrina menegaskan bahawa pemeriksaan haid pada asalnya bertujuan untuk melatih kejujuran pelajar. Bagaimanapun, beliau mengakui kaedah guru tersebut adalah keterlaluan.
“Terdapat dua perspektif mengenai aduan ini. Perspektif pertama ialah pelajar mungkin rasa tidak selesa. Sebaliknya, guru dan pihak sekolah berharap pelajar jujur mengenai tempoh haid mereka, sama ada mereka datang haid atau tidak,” kata Febrina.
Bagi mengelakkan perkara tersebut berulang, Pejabat Pendidikan Surabaya akan mengeluarkan surat pekeliling untuk mengawal selia prosedur sekolah dalam mengendalikan pelajar perempuan yang datang haid di samping mengekalkan disiplin dalam beribadah.
Menurut Febrina, tindakan mendisiplinkan pelajar mestilah disertai dengan penghormatan terhadap privasi mereka. Beliau juga memohon sokongan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mengenai haid.
“Kami akan mengeluarkan surat pekeliling apabila isu seperti ini timbul, menjelaskan cara untuk menanganinya supaya semua orang selesa. Haid adalah kitaran semula jadi. Apabila seorang gadis mencapai umur tertentu, dan hormonnya berkembang, dia akan mengalami haid. Oleh itu, semua orang mesti bijak dalam menangani isu ini,” tambahnya.
Secara berasingan, SMPN 21 Surabaya telah bersuara mengenai kontroversi menyelubungi pemeriksaan haid ke atas pelajar perempuan.
Pegawai Perhubungan Awam SMPN 21 Surabaya, Roro Murni menjelaskan bahawa pemeriksaan haid adalah prosedur untuk memeriksa pelajar perempuan yang tidak menghadiri solat Zohor.
Pemeriksaan ini dijalankan berikutan syak wasangka terhadap pelajar yang mengalami haid berpanjangan.
Menurutnya, kitaran haid setiap wanita berbeza-beza, berlanjutan dari empat hari hingga tujuh hari, atau lebih lama. Bagaimanapun, pihak sekolah mendapati beberapa pelajar melaporkan haid berulang yang panjang.
“Matlamat kami semuanya adalah demi kebaikan, untuk menggalakkan anak-anak bercakap benar,” kata Roro ketika ditemui pemberita di sekolah.
Beliau mengesahkan bahawa guru yang memeriksa haid tidak menyentuh pelajar secara fizikal. Beliau hanya mengerling sekilas untuk memastikan pelajar tersebut sedang haid.
Namun, pihak sekolah mengakui bahawa memeriksa haid dengan menurunkan seluar dalam adalah tidak wajar.
“Kaedah ini tetap salah,” katanya.
Susulan kejadian itu, pihak sekolah membatalkan pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan. Bagaimanapun, sekiranya tempoh haid pelajar berlarutan lebih daripada dua minggu, pihak sekolah akan memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar tersebut. – AGENSI














