SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selain mengemukakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu ditegaskan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja susulan majlis menghadap Ismail kepada Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, Ismail turut menyembah maklum kepada Tuanku Muhriz bahawa beliau tidak mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November lalu dan tidak bersetuju surat berkenaan dikemukakan kepada Istana.
“Datuk Ismail Lasim perlu menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.
“Beliau juga hendaklah mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Kebawah Duli Tuanku,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan Tuanku Muhriz, manakala Istana sebelum ini belum mengesahkan surat berkenaan.
Sehubungan itu, Istana menegaskan tidak tepat untuk mengatakan pihaknya mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar kerana beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.
“Persoalan itu tidak timbul, kerana beliau menegaskan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan.
“Pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan,” tambah kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














