Pasukan perubatan yang terlibat dalam proses pengambilan tulang Allahyarham Aidil (gambar kecil), hari ini.

Tulang Allahyarham Aidil bakal manfaatkan puluhan pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tulang yang didermakan Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, selepas disahkan mengalami kematian otak kini selamat tiba di Bank Tisu Universiti Sains Malaysia (USM) untuk disimpan sebelum diproses bagi membantu puluhan pesakit yang memerlukan rawatan.

Perkara itu dikongsikan salah seorang petugas perubatan yang terlibat dalam proses pengambilan tulang berkenaan, Dr. Syahr Musafir menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, tulang-tulang yang didermakan Allahyarham akan disimpan dengan sebaik mungkin sebelum diproses dan disediakan untuk kegunaan rawatan pesakit lain pada masa hadapan.

“Buah pinggang ada dua, paru-paru, hati, kornea mata dan lagi. Itu semua dah dapat bantu ramai orang. Nanti tulang-tulang ini pun, berpuluh orang yang akan dapat hidup lebih baik kerana jasa baik arwah.

“Insaf saya. Sebak tak terkata. Moga syurga buat arwah yang menderma. Ya Allah, moga syurga buat kita sebab kita pun nak syurga,” katanya.

Sementara itu, Dr. Syahr turut berkongsi pengalaman penuh emosi ketika berada di dewan bedah bagi menguruskan proses pengambilan tulang Allahyarham, pagi tadi.

“Sejak semalam hingga hari ini pula, rasa lain macam hingga bergenang air mata.

“Berada dalam dewan bedah pagi-pagian hari ini pun rasa lain, mata tak kering. Badan tak makan apa-apa sejak pagi tetapi hingga tengah hari pun tak rasa apa. Entah dari mana datang kekuatannya,” katanya.

Dr. Syahr berkata, sepanjang proses berkenaan, dia sentiasa mengingatkan dirinya bahawa tulang yang didermakan itu merupakan amanah besar daripada Allahyarham dan keluarganya.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut bukan sekadar mengambil tulang yang didermakan, sebaliknya memastikan ia diuruskan, disimpan dan digunakan dengan sebaik mungkin bagi membantu pesakit lain.

“Arwah dermakan tulang. Amanah untuk kita ambil dengan baik. Amanah untuk kita kembalikan arwah dengan baik.

“Amanah untuk kita pastikan tulang-tulang ini dijaga dan akhirnya nanti boleh digunakan untuk merawat para pesakit lain dengan baik. Semua ini amanah,” katanya.

Jelasnya, pesanan itu berulang kali bermain dalam fikirannya sepanjang menjalankan tanggungjawab berkenaan kerana mahu memberikan yang terbaik buat Allahyarham serta keluarga yang meredai pendermaan tersebut.

“Setiap orang memainkan peranan masing-masing. Dan arwah walaupun meninggal dunia, ‘meneruskan lagi peranannya’ sebagai penderma. Ya Allah masya-Allah insan mulia. Terima kasih, insan mulia,” luahnya.

Terdahulu, Allahyarham Aidil dilaporkan mengalami kematian otak sebelum keluarganya membuat keputusan untuk mendermakan organ dan tisunya bagi memberikan peluang kepada pesakit lain meneruskan kehidupan.

Pendermaan itu sekali gus membolehkan jasa Allahyarham terus memberi manfaat kepada insan lain meskipun beliau sudah tiada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN