Gambar hiasan

Kelebihan isteri berpeluh ketika memasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya ingin bertanya berkenaan kesahihan hadis Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah seperti di bawah: “Wahai Fatimah, kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, Allah SWT akan bina parit antara dirinya dengan neraka bagi menghalang bahang api neraka itu dan jarak antara parit dengannya adalah sejauh langit dengan bumi (Abu Hurairah RA).

Jawapan: Setelah melakukan penelitian, riwayat ini tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar, bahkan karya himpunan hadis-hadis daif. Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam bahasa Melayu dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog yang bertujuan menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya. Meskipun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara iaitu tujuan yang baik tidak boleh dilaksanakan dengan cara salah.

Oleh itu, riwayat ini merupakan riwayat yang palsu, bahkan tiada asalnya. Tidak salah bagi memberikan galakan kepada para isteri untuk berkhidmat pada suaminya, namun janganlah sehingga menyebarkan hadis-hadis yang palsu kerana ia satu perbuatan berdosa.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebenarnya, terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik.

Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. (Riwayat Ibn Hibban)

Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya, maka akan menyenangkan hatinya.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda: “Hendakkah kamu aku mengkhabarkan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, seorang isteri yang memasak untuk ahli keluarganya akan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah SWT kerana ia suatu perbuatan yang mulia.

Kesimpulannya, riwayat ini adalah palsu.

Hal ini kerana, riwayat tersebut tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar, bahkan karya himpunan hadis-hadis daif.

Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam bahasa Melayu sahaja dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog bertujuan menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya.

Meskipun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara iaitu tujuan yang baik tidak boleh dilaksanakan dengan cara salah.

Bahkan, terdapat banyak lagi hadis lain yang boleh digunakan untuk memberi galakan kepada para isteri untuk berbuat baik terhadap suami.
Wallahua’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN