SEREMBAN – “Empat hari tak dapat cari saya, esok cari saya.” Itu seloroh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ketika diasak pemberita berhubung kemelut peletakan jawatannya, di sini, hari ini.
Ismail yang kelihatan tenang bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta pemberita menemuinya esok.
“Jumpa esok,”katanya ringkas. Kenyataan ringkas itu memberi bayangan dan tanda tanya mengenai perkembangan terbaharu kemelut berkenaan terutama menjelang pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kira-kira pukul 10 pagi esok.
Terdahulu, beliau merasmikan Pelancaran Bulan Zakat Peringkat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di Bandar Sri Sendayan, hari ini.
Beliau turut mengesahkan berada dalam keadaan sihat apabila ditanya mengenai keadaan dirinya.
“Saya okey, sihat. Alhamdulillah, terima kasih,” katanya ringkas.
Istana Negeri Sembilan sebelum ini menjelaskan Setiausaha Sulit telah menyampaikan perkenan baginda kepada Ismail untuk menghadap menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 8.38 malam, 16 November lalu, sebagaimana yang dipohon.
Perkara itu turut disahkan menerusi surat dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja yang menetapkan sesi menghadap berkenaan pada pukul 10 pagi, 20 November.
Terdahulu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Menteri Besar yang dikatakan ditandatangani Ismail.-KOSMO! ONLINE














