KANGAR – Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim memaklumkan pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual dilakukan seorang penceramah motivasi kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Menurut Hamzah, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung keputusan pertuduhan terhadap suspek terbabit.
“Berhubung kes membabitkan penceramah motivasi berkenaan, pihak polis sudah menghantar laporan siasatan kepada TPR dan kini menunggu arahan untuk pertuduhan.
“Setakat ini, kita juga sedang menunggu laporan forensik telefon bimbit dan komunikasinya. Proses menunggu bukti tambahan daripada pihak lain memang mengambil masa sedikit kerana dalam pengumpulan bukti, kita perlu cermat dan berhati-hati,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.
Terdahulu, penceramah motivasi terbabit direman dua hari bagi membantu siasatan dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Ia susulan laporan yang diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada 2 Oktober lalu berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 26 September.
Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ditahan semula bagi membantu siasatan satu lagi laporan yang diterima di Kangar pada 3 Oktober lalu, membabitkan pengadu wanita berusia 19 tahun.
Kes membabitkan laporan di Kangar itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.














