PETALING JAYA – Keadaan air banjir yang semakin deras sejak pukul 9.30 pagi tadi di sekitar kawasan Ijok, Selangor menyebabkan rata-rata penduduk melahirkan rasa takut ekoran bimbang kejadian banjir besar yang berlaku pada 2021 kembali berulang.
Menurut penduduk di Kampung Batu 7 Ijok di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Johari Abdul Hamid, kebimbangan itu wujud selepas rata-rata mangsa sebelum ini tidak sempat menyelamatkan barang di dalam rumah selepas air banjir masuk dengan laju pada 2021.
“Hari ini, sekitar pukul 9.30 pagi tadi, sekali lagi air banjir deras masuk ke dalam rumah dan keadaanya sudah menghampiri paras pinggang saya.
“Selain itu, keadaan juga sedikit mendung yang mana kemungkinan hujan lebat boleh berlaku, sekali gus boleh meningkatkan risiko banjir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! tadi.
Katanya, dia juga terpaksa berdepan situasi banjir sebanyak dua kali pada bulan ini hingga menyebabkan banyak peralatan dan perabot di dalam rumah mengalami kerosakan.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan Kosmo! di Threads, rata-rata pengguna aplikasi itu turut berkongsikan keadaan semasa dengan melaporkan banjir kembali berlaku hari ini di beberapa kawasan sekitar Kuala Selangor.
“Air naik semula, lalu Kampung Parit Mahang ke Ijok. Bertabahlah semua penduduk lima buah kampung di Jeram, Kuala Selangor,” kata @ziela.jami.
“Baru dua hari yang lepas air surut, gelombang kedua banjir pula. tahun ini sudah dua kali banjir, apa boleh buat,” luah @zrulasyraf.
“Penat ya bulan ini, dua kali banjir di Ijok, rasa nak menangis. Kalau air dari atas deras laju, kampung Ijok la jadi destinasi kumpul air,” jelas @_annbr. -KOSMO! ONLINE














