ZUS COFFEE meraikan kejayaan meraih gelaran Jenama Terbaik Tahun Ini (Brand of the Year) bagi kategori Peruncit (Kopi), Peringkat Kebangsaan - Malaysia, di World Branding Awards 2026-2027 untuk tahun kedua berturut-turut.

ZUS Coffee kini di 7 negara, teroka pasaran UK tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jenama kopi tempatan, ZUS Coffee terus memperluaskan perniagaannya di pasaran antarabangsa apabila kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di tujuh negara sejak mula beroperasi pada 2019.

Perkembangan itu bakal memasuki fasa baharu apabila syarikat berkenaan merancang menembusi pasaran United Kingdom (UK) pada Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ZUS Coffee, Venon Tian berkata, perkembangan perniagaan syarikat itu dalam tempoh tujuh tahun menunjukkan potensi jenama tempatan untuk bersaing dalam industri makanan dan minuman (F&B) di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, ZUS Coffee yang bermula sebagai sebuah kios kecil pada 2019 kini mempunyai operasi di Malaysia, Singapura, Filipina, Brunei, Thailand, Pakistan dan Indonesia.

“Sejak memulakan perjalanan sebagai sebuah kios kecil pada tahun 2019, ZUS COFFEE telah berkembang pesat dalam tempoh tujuh tahun ini.

“Ketika mula bertapak, kami tidak mempunyai semua jawapan untuk segalanya, namun kami sentiasa berpegang pada satu prinsip, iaitu kopi berkualiti tidak seharusnya menjadi satu kemewahan, sebaliknya sesuatu yang mampu dinikmati oleh semua,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kejayaan ZUS Coffee meraih pengiktirafan Jenama Terbaik Tahun Ini (Brand of the Year) bagi kategori Peruncit (Kopi), Peringkat Kebangsaan pada World Branding Awards 2026-2027 di London, United Kingdom, 3 November lalu.

Pengiktirafan itu merupakan kali kedua berturut-turut diterima syarikat berkenaan.

Dari segi prestasi produk, minuman Spanish Latte dan CEO Latte masing-masing merekodkan jualan melebihi 46 juta cawan dan 13 juta cawan di seluruh pasaran.

Kemasukan ke UK pada Januari 2027 dijangka menjadi satu lagi langkah peluasan pasaran ZUS Coffee dalam industri kopi global yang semakin kompetitif.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN