TANGKAK – Perselisihan faham dalam kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dipercayai punca seorang pelajar tingkatan tiga cedera dibelasah tiga rakan sekelas dalam kejadian di sebuah sekolah Khamis minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 12.09 tengah malam pada 14 November dan mendapati kejadian telah berlaku sekitar 8 pagi, di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sekolah.
Katanya, susulan daripada laporan itu, tiga pelajar berusia 15 tahun dari sekolah yang sama telah diambil tindakan dan mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Hasil daripada pergaduhan itu, mangsa telah mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) di bahagian kiri kepala, dada, perut dan lengan kiri dan mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Polis Daerah Tangkak memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli dan keganasan khususnya yang melibatkan golongan pelajar sekolah,”katanya melalui kenyataan ketika dihubungi hari ini.













