SUBANG JAYA – Dua kanak-kanak warga asing berusia enam dan tujuh tahun dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan ibu bapa sebelum bertindak memanjat keluar melalui tingkap dan bermain di bahagian luar sebuah bangunan kediaman bertingkat tinggi, di sini.
Kejadian mencemaskan itu menjadi perhatian ramai selepas rakaman video memaparkan tindakan berbahaya kedua-dua kanak-kanak berkenaan tular di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat berada di bahagian luar tingkap sebuah unit kediaman tanpa sebarang peralatan keselamatan.
Lebih membimbangkan, seorang daripada mereka dilihat berpaut pada bingkai tingkap sambil cuba memanjat ke bahagian luar bangunan, sekali gus mengundang risiko terjatuh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Jumaat lalu kira-kira pukul 4.26 petang.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada wakil pengurusan kediaman terbabit pada kelmarin kira-kira pukul 3.11 petang susulan aduan penduduk mengenai kejadian berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak terbabit merupakan bukan warga fempatan, masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.
“Mereka dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa pengawasan ibu bapa sebelum keluar melalui tingkap dan bermain di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Fairus berkata, bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Subang Jaya atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222.
“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Fatin Nur Nadhirah Zahari di talian 012-9979552 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














