KAMAL Nur Hafizi yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Jaya Diri, Rengit di Batu Pahat malam kelmarin.

Rantai jadi petunjuk adik rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – “Sebaik melihat rantai yang ada pada salah seorang dari mangsa kemalangan itu, kepala saya seperti dihempap dengan objek keras selepas tahu identiti yang rentung itu adalah adik bongsu kami”

Demikian luahan Kamal Syafiq Maskat, 35, ketika membuat pengecaman di tempat kejadian selepas dimaklumkan adiknya Kamal Nur Hafiz’i,22, terlibat dalam kemalangan daripada rakan-rakannya yang datang ke kediaman mereka di Kampung Sri Ladang, Rengit di sini malam kelmarin.

Kata Syafiq, ayahnya Maskat Sarjan, 74, yang turut datang bersama juga tidak dapat menahan sebak dan hampir pengsan selepas mayat yang rentung itu adalah anaknya.

Katanya, sebelum itu dia dalam perjalanan ke pekan Rengit untuk membeli beberapa barang keperluan dan tersekat di lokasi kira-kira 10 minit akibat kesesakan lalu lintas susulan kemalangan itu.

Jelasnya, pada mulanya dia sememangnya melihat sendiri kejadian terbabit termasuk anggota bomba memadam kebakaran kenderaan berkenaan sambil terdetik di hatinya agak teruk juga kemalangan kali ini sehingga kenderaan terlibat terbakar tanpa sedar mangsa adalah salah seorang daripada adiknya.

“Saya lihat sendiri api yang cukup marak membakar kereta dan kemudiannya saya meneruskan perjalanan ke pekan Rengit tanpa ada syak apa-apa.

“Setelah hampir satu jam kemudian apabila tiba sahaja di rumah beberapa kenalan saya telah berkumpul di hadapan rumah dan terus cakap bahawa Kamal Nur Hafizi terlibat dalam kemalangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini semalam.

Ujarnya, Kamal Syafiq, sebaik menerima berita itu, ingatannya terus kepada kejadian yang disaksikannya sebelum itu, namun dalam hati tetap berdoa agar ia bukanlah daripada keluarganya.

“Setibanya di tempat kemalangan, saya mendekati mangsa untuk membuat pengecaman, memang betul ia adik saya berdasarkan rantai yang ada pada mangsa, kami sekeluarga nak pitam di tempat itu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN