USIA 56 tahun bukan alasan untuk memperlahankan langkah, apatah lagi meninggalkan hobi yang sudah sebati dalam kehidupan lelaki itu.
Hairuddin Ismail atau lebih mesra disapa Din berkata, laut tetap menjadi medan untuk menguji kemahiran dan memburu spesies ikan idaman, selagi kudrat masih mengizinkan.
Walaupun sudah memasuki usia separuh abad, namun semangatnya untuk menyertai trip memancing di perairan terbuka tidak pernah luntur.
Malah, pengalaman puluhan tahun menghadap laut menjadikan Din semakin matang membaca keadaan lubuk, mengenali tabiat ikan dan memilih teknik bersesuaian.
Menurutnya, memancing bukan sekadar melabuhkan umpan dan menunggu ikan menyambar, sebaliknya pengetahuan tentang arus, kedalaman air, struktur dasar serta pergerakan ikan menjadi antara faktor penting untuk memperoleh hasil.
“Minatnya terhadap pancingan laut mula berputik sejak usia belasan tahun lagi, dan terus berkembang sehingga menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan.
“Ketika berada di kawasan unjam, pendekatan tersendiri digunakan seperti menggabungkan tiga teknik utama iaitu pancingan dasar (bottom), hanyut dan jigging perlu dicuba.
“Kebiasaannya, saya menggunakan dua hingga tiga batang joran bagi memastikan setiap lapisan air dapat diterokai dengan pendekatan berbeza,” katanya.
Menurut Din, set pancing dasar akan disediakan terlebih dahulu dengan menggunakan umpan seperti sotong, ikan dan udang, sebelum dilabuhkan ke dasar laut.
Selepas itu, Din menyediakan set untuk teknik hanyut menggunakan umpan hidup, sebelum melengkapkan peralatan jigging bagi memburu ikan pemangsa.
“Apabila bot berhenti di lubuk yang dituju, saya akan menyediakan joran bottom terlebih dahulu. Saya menggunakan umpan mati seperti sotong, ikan dan udang, sebelum melabuhkannya ke dasar.
“Selepas itu, barulah saya menyediakan peralatan untuk teknik hanyut menggunakan umpan hidup. Seterusnya, saya akan melengkapkan set jigging,” katanya.
Kombinasi tiga teknik itu membolehkan dia memanfaatkan masa sepanjang berada di lubuk, selain memberikan peluang lebih luas untuk memikat ikan yang berada pada kedalaman berbeza.
Bagi aktiviti jigging pula, Din mempunyai pilihan tersendiri berdasarkan spesies yang menjadi sasaran.
“Untuk fast jigging, saya lebih suka jig nipis seberat 100 gram kerana sesuai memburu tenggiri.
“Bagi slow jigging pula, saya memilih jig yang lebih ‘gemuk’ dengan berat sekitar 80 hingga 100 gram. Biasanya, ebek, kerapu dan jenahak menjadi sasaran,” jelasnya.
Pemilihan jig bukan sekadar bergantung pada berat, sebaliknya bentuk dan pergerakan di dalam air turut memainkan peranan.

Bagi Din, kawasan unjam di perairan Kelantan antara lokasi pilihan kerana struktur berkenaan menjadi tumpuan pelbagai spesies ikan yang mencari makanan dan perlindungan.
Antara ikan yang sering menjadi buruannya termasuk ebek, gerong belang, tenggiri, layaran, kerapu dan jenahak.
Namun, setiap trip mempunyai cabaran tersendiri kerana pemancing perlu menyesuaikan teknik mengikut keadaan arus, kedudukan ikan dan kedalaman lubuk.
Pengalaman Din di kawasan unjam turut membuahkan hasil apabila dia berjaya mendaratkan pelbagai spesies termasuk gerong belang, aruan tasik, ikan gerepoh atau giant trevally (GT) serta ebek.
“Ikan-ikan ini terkenal dengan tentangan kuat ketika bertarung, sekali gus menuntut pemancing mengawal joran dan menguruskan tali dengan baik bagi mengelak tangkapan terlepas.
“Antara pengalaman yang sukar dilupakan adalah kejayaan menaikkan seekor ikan layaran seberat 15 kilogram menggunakan teknik hanyut dengan umpan ikan hidup. Namun, saya lepaskan kembali ke laut.
“Selain itu, seekor gerong belang seberat lapan kilogram turut menjadi antara koleksi tangkapan yang membanggakan,” katanya.
Din memberitahu, pengalaman memburu ikan bersaiz besar sudah cukup mengujakan.
Malah, dia mempunyai kenangan yang sukar ditandingi apabila berjaya memperoleh tangkapan sebanyak 57 ekor tenggiri bersama rakan-rakannya.
“Rekod tangkapan ini diperoleh menerusi gabungan teknik fast jigging dan hanyut menggunakan umpan hidup.
“Kejayaan yang diperoleh memperlihatkan kepentingan kerjasama antara pemancing, pemilihan teknik serta keupayaan membaca pergerakan ikan ketika berada di kawasan berpotensi,” ujarnya.
Biarpun sudah puluhan tahun menjadikan laut sebagai medan memburu ikan, namun Din tidak pernah menganggap pengalaman sebagai jaminan untuk memperoleh hasil pada setiap trip.
Sebaliknya, setiap perjalanan memberikan peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu, termasuk perubahan keadaan laut dan tabiat spesies ikan yang diburu.
Katanya, kepuasan memancing bukan hanya diukur berdasarkan jumlah atau saiz ikan yang berjaya didaratkan, sebaliknya merangkumi pengalaman bersama rakan-rakan serta kenangan sepanjang berada di tengah lautan.
Dalam keghairahan memburu spesies idaman, Din sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dengan memastikan keadaan cuaca dan laut dipantau, sebelum memulakan perjalanan.














