TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah stor penyimpanan 2,000 kilogram (kg) minyak masak tanpa kebenaran bernilai RM80,600 di Kamunting, di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan tersebut dijalankan hasil risikan selama seminggu terhadap aktiviti penyimpanan minyak masak peket 1 kilogram (kg).
“Minyak masak berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.50 sekilogram dan dikumpulkan sebelum dijual semula kepada pihak industri minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.60 hingga RM4 sekilogram.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis,” katanya di sini hari ini.
Katanya, lelaki tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan berkaitan barang kawalan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita barangan dengan jumlah keseluruhan RM80,600,” katanya. – KOSMO! ONLINE














