Shahril (dua kiri) ketika sesi pertukaran MoU bersama Prof. Dr. Mohd. Sazili bagi mengukuhkan kerjasama antara Sapura dan UiTM semalam.

Sapura, UiTM perkasa bakat pertahanan siber negara menerusi iHACK 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sapura dan Velum Labs Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai penaja utama iHACK 2026 bagi mengenal pasti dan membangunkan generasi baharu profesional pertahanan siber Malaysia susulan peningkatan serangan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Kerjasama yang disokong Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) itu menghubungkan pembelajaran akademik dengan kepakaran industri secara langsung bagi membangunkan keupayaan tempatan serta memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura merangkap Pengasas Velum Labs, Tan Sri Datuk Seri Shahril Shamsuddin berkata, keselamatan siber kini menjadi perkara berkaitan keselamatan negara, daya tahan ekonomi dan kedaulatan.

“Di Sapura, lebih 90 peratus pakar siber merupakan graduan universiti tempatan. Malaysia perlu membangunkan pakar pertahanan siber yang memahami bagaimana pihak musuh beroperasi serta mampu bertindak balas dengan pantas, pertimbangan tepat dan penuh keyakinan.

“Menerusi iHACK 2026, kami akan terus mengenal pasti dan membangunkan bakat Malaysia yang berkemampuan melindungi masa depan digital negara.

“Keupayaan siber berdaulat perlu dibina berasaskan kepakaran rakyat Malaysia, bukan teknologi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

MoU kerjasama itu dimeterai oleh Shahril dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi dengan disaksikan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) NACSA, Noursilawati Abdul Halim.

Untuk maklumat, iHACK 2026 akan dianjurkan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM pada 17 hingga 18 November di Dewan Mawar Qaseh, UiTM Shah Alam.

Program itu menggabungkan pertandingan Capture-the-Flag (CTF) dan pembentangan projek pelajar bersama bimbingan pakar, selepas pusingan awal berjaya menarik penyertaan 396 pelajar daripada 103 pasukan mewakili 32 kampus universiti awam dan swasta di seluruh negara.

Pakar daripada Sapura dan Velum Labs turut menilai projek tahun akhir bagi mengenal pasti bakat cemerlang serta penyelesaian praktikal yang berpotensi diterima pakai oleh industri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN