KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi, namun tangan kanannya tidak dapat diselamatkan apabila terpaksa dipotong.
Perkembangan itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang menjelaskan keputusan memotong tangan atlet berkenaan itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.
“Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya, tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong paras atas siku yang mungkin mengancam nyawanya,” katanya.
Terdahulu, atlet berusia 22 tahun itu terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira pukul 11 malam kelmarin.
Sebagai rekod, Hafizuddin merangkul pingat emas bagi kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas melakukan angkatan keseluruhan 345kg.
Lebih membanggakan, dia juga mencipta rekod kebangsaan yang baharu bagi acara snatch menerusi angkatan 162kg selain memecahkan rekod temasya untuk kategori tersebut. – KOSMO! ONLINE














