Program Yong Peng Clean Up Month berjaya mengutip 118 tan sisa.

118 tan sisa berjaya dikutip, lebih 1,000 turun padang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA  – Sebanyak 118 tan sisa berjaya dikutip menerusi Program Yong Peng Clean Up Month bersempena dengan sambutan World Clean Up Day 2026 yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta di sekitar daerah ini.

Program anjuran Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) itu turut diadakan bersempena Kempen Yong Peng Bersih, Sihat dan Selamat serta dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon.

Aktiviti pembersihan yang dilaksanakan tertumpu di kawasan Parit Ah Hock dan sekitar Pekan Yong Peng dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan, Ahli Majlis serta komuniti setempat.

Menurut MDYP dalam satu kenyataan, program berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, memperkukuh semangat kesukarelawanan serta memupuk budaya tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Dalam ucapannya, Ling menegaskan usaha memelihara kebersihan persekitaran bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.

Beliau turut menyeru supaya amalan menjaga kebersihan dan aktiviti gotong-royong terus dijadikan budaya serta sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, bukannya hanya dilaksanakan secara bermusim atau ketika program tertentu.

Sementara itu, Yang Dipertua MDYP, Ts. Dr. Mohd Azlan Ab Jalil meminta supaya pelaksanaan Program Yong Peng Clean Up dan Program Johor Bersih dipergiat secara berjadual setiap Isnin dan Sabtu sepanjang September dan Oktober lalu.

Inisiatif berkenaan meliputi kawasan pentadbiran MDYP khususnya di Pekan Yong Peng, Ayer Hitam, Parit Sulong, Sri Medan dan Parit Yaani dengan penglibatan aktif Ahli Majlis MDYP bersama jabatan berkaitan, agensi kerajaan, pertubuhan serta komuniti setempat.

MDYP memaklumkan pendekatan bersepadu itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan awam, sistem perparitan dan lokasi tumpuan masyarakat, malah turut menekankan aspek pendidikan, kesedaran sivik serta pembentukan sikap prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.

“Kejayaan mengumpulkan sebanyak 118 tan sisa dengan penyertaan melebihi 1,000 peserta mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik antara PBT dan masyarakat dalam merealisasikan persekitaran yang lebih bersih, sihat, selamat dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

MDYP turut menegaskan komitmennya untuk memperluas pelaksanaan program kebersihan secara berterusan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor serta slogan ‘Bandar Kita, Tanggungjawab Kita’ bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran dan kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN