Seramai lebih 100,000 pelajar daripada kumpulan B40 di lebih 900 sekolah mendapat manfaat makanan percuma, Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu bermula 3 Ogos lalu.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Johary Anuar, program makanan percuma itu yang memastikan pelajar pulang dengan perut kenyang dari sekolah menyasarkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina serta lain-lain jenis sekolah.
“Hari ini kita melaksanakan sebagai satu simbolik program mega Nutrisel yang merupakan kesinambungan program Nutrisel yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebagai salah satu inisiatif di bawah program pakej pengukuhan daya tahan ekonomi negeri Selangor.
“Kita telah laksanakan (program ini) di 962 buah sekolah melibatkan lebih 100,000 pelajar di seluruh negeri Selangor dengan peruntukan RM14.4 juta,“ katanya selepas merasmikan program tersebut di SK Rantau Panjang, Klang.
Johary berkata, program tersebut bertujuan membantu pelajar berpendapatan rendah untuk mendapat makanan yang berkhasiat di sekolah.
Katanya lagi, selain makanan seperti nasi ayam, pihaknya turut menambah menu berupa pemberian air susu kotak dan roti untuk program tersebut.
“Untuk pelajar SK Rantau Panjang hari ini ia melibatkan 3,084 pelajar.
“Seluruh Klang iaitu di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) seramai 17,000 penerima untuk program ini.
“Ini menunjukkan keprihatinan Menteri Besar Selangor untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan anak mereka dijaga dalam aspek mendapat makanan berkhasiat, “ujarnya.

Sementara itu seorang pelajar tahun enam, Norsyahira Zamzani, 12, berkata, program tersebut amat bermanfaat untuk pelajar yang tidak berkemampuan mendapat makanan berkhasiat.
Katanya lagi, makanan yang disajikan seperti ‘chicken chop’ dan nasi ayam juga sedap dan menepati seleranya.
“Terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana menyumbang makanan yang sedap-sedap dan membekal nutrisi yang baik untuk kami,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang pelajar lelaki tahun enam, Mohd. Ishihuddin Asmadi berkata, program tersebut meringankan beban kewangan keluarganya.
Mohd. Ishihuddin berkata, dia berharap program tersebut diteruskan untuk pelajar lain pada masa depan.
“Program ini memastikan saya sentiasa bertenaga untuk menghadapi sesi pembelajaran di sekolah setiap hari,” ujarnya.
Untuk makluman, program Nutrisel melibatkan kerjasama strategik beberapa pihak.
Antaranya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia.
Ia melibatkan bantuan makanan bernilai RM5 setiap hidangan yang diagihkan dua kali seminggu selama tiga bulan kepada pelajar yang layak.
Setiap menu disediakan mengikut panduan nutrisi dan mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi memastikan makanan yang disediakan berkhasiat, selamat dan berkualiti.
Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya kesejahteraan anak-anak di bangku sekolah.
Menerusi sistem pengambilan makanan yang lebih baik, pelajar dapat memulakan hari persekolahan dengan lebih sihat, bersemangat dan bersedia untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.














