BUKIT MERTAJAM – Sebanyak enam TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara kini menyediakan kemudahan studio siaran langsung (LIVE) secara percuma kepada usahawan menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional dengan TikTok Shop Malaysia.
Kemudahan itu membolehkan usahawan memasarkan produk secara dalam talian tanpa perlu mengeluarkan modal besar untuk membina studio atau membeli peralatan sendiri.
Usahawan boleh menempah studio secara percuma selama dua jam bagi setiap sesi.
Studio berkenaan dilengkapi kemudahan kalis bunyi, internet berkelajuan tinggi, lebih 500 pilihan latar belakang digital serta pelbagai kesan khas siaran langsung, selain bantuan petugas teknikal.
Usahawan turut berpeluang mengikuti latihan penghasilan video pendek, pemasaran dalam talian dan teknik jualan LIVE bagi meningkatkan kemahiran serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembukaan TikTok Shop LIVE Hub di Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada usaha beliau untuk memperluas kemudahan itu kepada lebih ramai usahawan di seluruh negara.

Menurutnya, selain menyediakan pembiayaan dan latihan, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada usaha membantu peniaga kecil memasarkan produk serta meningkatkan jualan.
“Saya yakin kerjasama antara KUSKOP, TEKUN Nasional dan TikTok Shop dapat membantu lebih ramai usahawan kecil mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya selepas merasmikan TikTok Shop LIVE Hub keenam di Bandar Perda pada Ahad lalu.
Ketika Steven mula menerajui KUSKOP pada Disember 2025, terdapat tiga TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara.
Susulan usaha memperluas rangkaian kemudahan itu, tiga lagi pusat dibuka tahun ini, masing-masing di Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, Pahang; dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Tiga pusat terdahulu terletak di Penampang, Sabah; Johor Bahru, Johor; dan Ibu Pejabat TEKUN Nasional di Kuala Lumpur.
Kesemua enam pusat itu menyediakan studio LIVE yang boleh digunakan secara percuma oleh usahawan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12 studio LIVE, tiga pusat latihan dan sebuah studio podcast di seluruh negara.

Pusat terbaharu di Pulau Pinang mempunyai dua studio LIVE serta sebuah pusat latihan, dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan.
Setakat September 2026, kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia telah melibatkan lebih 1,300 usahawan, dengan jualan terkumpul melebihi RM45 juta direkodkan menerusi platform TikTok Shop.
TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Usahawan yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai latihan atau membuat tempahan studio boleh melayari https://tiktokshoplivehub.com/ atau mengikuti akaun TikTok @livehubmy.














