KUALA LUMPUR – Lans Koperal Thierry Rodger Pendy yang putus pergelangan tangan kanan ketika akibat ditetak dalam kejadian 11 November lalu kini dalam pertimbangan untuk menerima kenaikan pangkat medan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan keberaniannya.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, urusan dokumentasi bagi perkara itu sedang diusahakan melalui kontinjen Selangor.
“Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail juga sudah menyuarakan pertimbangan kenaikan pangkat medan untuk Lans Koperal Thierry,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Menurut Noor Hisam, pihak polis turut menguruskan dokumentasi bagi menentukan kelayakan anggota berkenaan menerima bantuan daripada tabung pahlawan atau wira serta bayaran ex gratia.
“Kita juga akan memproses kelayakan lain termasuk kemungkinan penganugerahan pingat dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan terus memberikan sokongan moral serta bantuan kebajikan kepada Thierry yang menunjukkan semangat tinggi meskipun mengalami kecederaan serius.
Katanya, Thierry merupakan contoh anggota barisan hadapan yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan kecekapan ketika berdepan situasi berbahaya.
Mengulas kejadian itu, Noor Hisam berkata, Thierry masih mampu mengawal keadaan dan mengarahkan individu di sekelilingnya berlindung walaupun mengalami kecederaan parah.
Jelasnya, tindakan tersebut membuktikan anggota berkenaan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan situasi genting.
Dalam kejadian pada 11 November lalu, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong. – KOSMO! ONLINE














