Gambar Hiasan

MPOB terima aduan percampuran minyak sawit tempatan, luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerima aduan berhubung dakwaan pencampuran minyak sawit dari Indonesia dengan minyak sawit tempatan yang dipercayai berlaku di Pelabuhan Klang sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan dalam surat MPOB bertarikh 22 Oktober lalu kepada Maritime Network Sdn Bhd, yang merekodkan aduan berkenaan, ditandatangani Ketua Unit Penguatkuasaan MPOB, Wan Yasin Wan Daud.

Berdasarkan aduan itu, kapal berkenaan membawa minyak sawit olein bertapis yang diisytiharkan berasal dari Indonesia, sebelum didakwa dicampurkan dengan minyak sawit olein mentah Malaysia di Pelabuhan Klang.

Pengadu menganggarkan jumlah keseluruhan kargo kira-kira 15,000 tan metrik, termasuk 5,000 tan metrik yang didakwa dimuatkan di Pelabuhan Klang.

Maritime Network turut mendakwa berlaku pertukaran bil muatan (Bill of Lading), menyebabkan keseluruhan kargo diisytiharkan sebagai minyak sawit olein mentah, manakala nama pengirim ditukar kepada sebuah syarikat Malaysia.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai pencampuran dan perubahan dokumen kargo itu tidak disahkan menerusi surat rasmi MPOB.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy menggesa MPOB menjelaskan perkembangan siasatan kerana syarikatnya belum menerima maklum balas lanjut sejak aduan dikemukakan.

Beliau berkata, jika dakwaan itu terbukti, ia boleh menimbulkan persoalan mengenai ketepatan pengisytiharan gred dan asal produk, kebolehkesanan sumber minyak sawit serta pematuhan terhadap peraturan pelesenan dan kawalan mutu MPOB.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan sumber industri bahawa minyak sawit import dicampurkan dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula, dengan nisbah 75:25 atau 80:20 disebut dalam pasaran.

Sumber itu berkata, amalan berkenaan, jika benar berlaku, berpotensi menyebabkan minyak sawit dari luar negara dipasarkan sebagai produk Malaysia, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap jenama minyak sawit tempatan dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN