Gambar Hiasan

Surat ‘resign’ 80 minit selepas istana perkenan Ismail menghadap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, yang dikatakan telah ditandatangani beliau.

Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

Menurut kenyataan itu, surat peletakan jawatan berkenaan dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada pukul 12.16 tengah malam, 17 November.

Surat berkenaan diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

Istana Negeri Sembilan turut menjelaskan bahawa Setiausaha Sulit telah menyampaikan perkenan kepada Ismail untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 8.38 malam, 16 November, sebagaimana yang dipohon.

Menurut kenyataan itu, sesi menghadap berkenaan ditetapkan pada pukul 10 pagi, Jumaat, 20 November 2026.

Istana turut menjelaskan perkenan menghadap itu diberikan lebih awal 80 minit sebelum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dimuat naik di akaun Facebook beliau pada pukul 10 malam, 16 November, yang memaklumkan mengenai peletakan jawatan Ismail.

Kenyataan itu turut memaklumkan pihak istana mengambil maklum mengenai kenyataan Zambry berhubung peletakan jawatan berkenaan yang dilihat berdasarkan salinan surat peletakan jawatan dalam milikannya.

Bagaimanapun, pihak istana menegaskan ketulenan surat yang menurut Zambry ditandatangani Ismail masih belum disahkan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN