KUALA LUMPUR – Aplikasi navigasi tempatan TuJu mencatatkan lebih sejuta pengguna dalam tempoh beberapa hari selepas larangan penggunaan Waze oleh pegawai kerajaan bagi urusan rasmi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, jumlah muat turun aplikasi itu meningkat daripada kira-kira 200,000 dalam tempoh tujuh bulan kepada 800,000 sebelum melepasi sejuta pengguna dalam beberapa hari.
Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan mendadak muat turun aplikasi yang dibangunkan Prosignal Consortium Sdn. Bhd. itu memberi tekanan kepada kapasiti sistem sedia ada sehingga mengakibatkan gangguan teknikal terhadap fungsi navigasi aplikasi berkenaan.
“Peningkatan pengguna yang mendadak itu menyebabkan caj bayaran langganan oleh penyedia perkhidmatan peta navigasi telah melebihi had bayaran sehingga Prosignal kena membayar RM300,000 dalam masa satu hari, contohnya.
“Susulan itu, LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) bersama Prosignal telah melaksanakan langkah pemulihan dan penambahbaikan aplikasi TuJu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad berkata, LLM turut menyelaraskan perbincangan dengan agensi berkaitan termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Kementerian Digital, Jabatan Digital Negara dan GovTech Malaysia bagi menambah baik sistem aplikasi berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bermula 6 November lalu, TuJu menggunakan fungsi navigasi yang dipautkan menerusi hyperlink terus kepada Google Maps sebagai langkah alternatif bagi mengoptimumkan kos pengoperasian sistem.
“Pelaksanaan tindakan penyelesaian serta perkhidmatan utama aplikasi TuJu ini telah tersedia dan boleh diakses penuhnya oleh semua pengguna peranti platform iOS mahupun Android,” katanya.
Ahmad berkata, aplikasi itu yang dilancarkan secara rasmi pada 26 November tahun lalu pada asalnya dibangunkan sebagai platform penyampaian maklumat trafik lebuh raya bertol secara masa nyata bagi membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih baik, sebelum fungsi navigasi diperkenalkan sebagai nilai tambah.
Beliau berkata, antara ciri utama TuJu ialah carian lokasi kawasan rehat dan rawat (R&R), bantuan kecemasan, paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung serta maklumat trafik masa nyata. – Bernama














