HULU TERENGGANU – Penantian lebih sebulan penduduk Kampung Kepah dan kawasan sekitarnya di sini berakhir apabila jambatan sementara jenis Bailey yang dibina dengan kos RM385,000 mula dibuka kepada pengguna jalan raya semalam.
Ia melegakan penduduk yang selama ini terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh selepas jambatan asal berhampiran Sungai Kepah di Jalan Kuala Berang-Sungai Tong ditutup sejak 13 Oktober lalu.
Penduduk Kampung Tengkawang, Alias Nor, 41, berkata, penutupan jambatan utama itu menjejaskan rutin harian penduduk di mana perjalanan menghantar anak ke SMK Matang yang mengambil masa dua minit menjadi 20 minit.
“Bila jambatan sementara itu dibuka, perjalanan kembali mudah dan kami tidak perlu lagi berpusing jauh untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.
Rafidah Othman, 47, turut lega apabila laluan itu dapat digunakan semula.
“Ia menjadi penghubung utama penduduk untuk melakukan pelbagai urusan. Kami harap ia dapat digunakan dengan selamat terutamanya ketika musim tengkujuh,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, jambatan dengan kos keseluruhan RM385,000 itu disiapkan dalam tempoh enam hari bermula 5 November lalu.
“Jambatan 21 meter itu turut direka dengan mengambil kira keadaan muka bumi serta risiko banjir di kawasan berkenaan ketika Monsun Timur Laut,” katanya.














