Masa depan kewartawanan bukan sekadar ditentukan siapa paling banyak menghasilkan berita, tetapi paling memahami audiens dan mampu membina kepercayaan mereka.

Wartawan perlu ada kemahiran ‘content entrepreneur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERUBAHAN landskap media yang semakin pesat menuntut pengamal kewartawanan keluar daripada peranan tradisional sebagai penyampai maklumat semata-mata, sebaliknya mengembangkan potensi diri sebagai content entrepreneur yang memahami nilai kandungan, kehendak audiens dan peluang perniagaan.

Dalam persekitaran media moden, tugas wartawan tidak seharusnya terhenti selepas menghasilkan berita atau artikel untuk memenuhi ruang halaman akhbar dan portal digital.

Sebaliknya, mereka perlu memahami bagaimana sesuatu kandungan boleh dibangunkan, disesuaikan dan disampaikan melalui pelbagai platform bagi menarik perhatian serta membina hubungan jangka panjang dengan pembaca.

Menurut Koordinator Prasiswazah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis, Dr. Norhisam Bulot, perubahan ini penting kerana persaingan industri media kini bukan lagi terbatas antara organisasi akhbar atau portal berita, tetapi turut melibatkan platform seperti TikTok, YouTube, podcast dan pencipta kandungan digital yang bersaing mendapatkan perhatian khalayak.

“Keadaan itu memperlihatkan bahawa kemahiran menulis dan menghasilkan laporan berkualiti sahaja tidak lagi mencukupi.

“Wartawan masa kini perlu mempunyai pengetahuan asas dalam pemasaran digital, pengoptimuman enjin carian, analisis data, penghasilan video, kecerdasan buatan serta pengurusan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, kemahiran berkenaan membolehkan wartawan mengenal pasti kelompok audiens, memahami jenis kandungan yang mendapat sambutan dan menentukan platform paling sesuai untuk menyampaikan sesuatu cerita.

Jumlah klik, tontonan dan pengikut penting sebagai ukuran perhatian, namun angka tersebut tidak semestinya menggambarkan kesetiaan pembaca atau keupayaan menjana pendapatan.

Sebaliknya, kandungan yang mampu membina kepercayaan dan menarik audiens untuk terus mengikuti sesebuah organisasi media mempunyai nilai lebih besar.

Kongsi Norhisam lagi, pendekatan content entrepreneur turut membuka ruang kepada wartawan untuk melihat sesuatu hasil penulisan sebagai aset yang boleh dikembangkan melalui pelbagai bentuk penyampaian, termasuk video pendek, podcast, kandungan interaktif dan program komuniti, tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan.

Bagaimanapun, perubahan tersebut bukan bermaksud wartawan perlu bertindak sebagai jurujual atau mengutamakan keuntungan.

Katanya, integriti, kredibiliti dan ketepatan maklumat perlu kekal menjadi asas kerana kepercayaan audiens merupakan antara aset terpenting syarikat.

“Pada peringkat organisasi pula, tanggungjawab memacu perubahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada wartawan.

“Pihak pengurusan perlu menyediakan latihan, teknologi, sistem ganjaran dan persekitaran kerja yang menyokong percubaan idea baharu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, model pendapatan juga perlu dipelbagaikan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pengiklanan, jualan akhbar atau jumlah trafik.

Langganan, keahlian, penganjuran acara, pelesenan kandungan dan kerjasama strategik boleh menjadi antara sumber pendapatan alternatif.

Masa depan kewartawanan bukan sekadar ditentukan oleh siapa yang paling banyak menghasilkan berita, tetapi siapa yang paling memahami audiens dan mampu membina kepercayaan mereka.

Wartawan perlu melihat diri bukan hanya sebagai pengisi halaman atau penghasil kandungan, sebaliknya individu yang mampu mencipta nilai, membangunkan idea dan menyumbang kepada kelangsungan perniagaan media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN