JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dipanggil polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang ini susulan memuat naik sebuah sajak bertajuk Patik Tak Rela di Facebooknya kelmarin.
Beliau dijadualkan memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula pukul 3 petang.
“Saya akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Hassan memuat naik satu sajak dipercayai merujuk kes Datuk Seri Najib Razak yang dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Hassan menerusi rangkap pertama terlebih dahulu meminta ampun sambil melontarkan persoalan sama ada tindakannnya itu boleh dianggap derhaka kerana cuba berkata benar.
Beliau yang merupakan seorang peguam berkias bahawa tuhan menyeru bersikap adil sesama insan, menegakkan hukum tanpa mengenal darjat. – KOSMO! ONLINE














