PETALING JAYA – Kemunculan cahaya biru misteri di ruang udara sekitar Pulau Pinang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai selepas rakaman fenomena itu tular di media sosial sejak malam tadi.
Menerusi beberapa perkongsian di Threads, cahaya terang berwarna kebiruan itu dilaporkan kelihatan di beberapa kawasan termasuk Permatang Pauh, Perai, Bertam dan Bukit Indera Muda.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pada pukul 9.20 malam yang dikongsikan beberapa pengguna media sosial turut memperlihatkan cahaya berkenaan menerangi sebahagian langit malam sehingga menarik perhatian pengguna jalan raya.
Seorang pengguna Threads @ainvllnull_, mempersoalkan kemunculan cahaya pelik itu sambil berseloroh mengenai kemungkinan kehadiran makhluk asing.
“Orang Permatang Pauh, ada nampak tak cahaya pelik dekat langit tadi? Alien nak datang menakluki bumi demi koko yang dicari-cari ke?” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @jebathan, mendakwa melihat pancaran cahaya terang sebanyak dua kali ketika melalui kawasan Perai.
“Cahaya terang dari kilang mana ini? Dua kali menyala macam itu,” katanya.
Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian pengguna lain yang mendakwa menyaksikan fenomena sama dari lokasi berbeza.
Pengguna Threads @izzyestelle_, berkata, cahaya berkenaan turut dapat dilihat dari kawasan Perda.
“Kami di Perda pun nampak cahaya terang itu,” katanya.
Seorang lagi pengguna @fleur drevee, mendakwa cahaya tersebut kelihatan lebih jelas dari kawasan Bukit Indera Muda.
“Kawasan Bukit Indera Muda lagi nampak jelas. Warna itu memang macam hijau aurora,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads @me___liaa, mendakwa turut terdengar bunyi dentuman kuat di sekitar Kubang Semang ketika kejadian.
Menurutnya, kejadian hampir sama pernah berlaku sebelum ini, namun bunyi dentuman kali ini didakwa lebih kuat.
“Di Kubang Semang, bunyi kuat berdengung. Baru hari itu jadi, sekarang jadi lagi, tetapi kali ini bunyinya lebih kuat.
“Hari itu katanya berpunca daripada wayar di pencawang elektrik yang bersentuhan sehingga menghasilkan percikan api, cahaya terang seketika dan bunyi letupan pelik. Nasib baik wayar itu tidak terus bersentuhan,” katanya.
Setakat ini, punca sebenar kemunculan cahaya biru tersebut belum dapat dipastikan dan tiada pengesahan rasmi mengenai kejadian itu berdasarkan maklumat yang dikongsikan. – KOSMO! ONLINE














