Christine Hakim, Reza Rahadian terbang ke KL tonton PGLM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kehadiran dua figura prolifik industri perfileman Indonesia, Christine Hakim dan Reza Rahadian yang sanggup terbang dari Jakarta khusus untuk menyaksikan pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), menjadi detik cukup bermakna buat pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Lebih istimewa, Christine yang pernah menghidupkan watak Bayan dalam filem epik Puteri Gunung Ledang (2004) akhirnya berpeluang menyaksikan sendiri karya berkenaan kembali ke pentas selepas tidak berkesempatan menonton pementasan muzikal pertamanya pada 2006.

Tiara menyifatkan kunjungan kedua-dua sahabat baiknya itu sebagai penghargaan dan sumber inspirasi besar kepada seluruh produksi, terutama Christine yang mempunyai hubungan istimewa dengan perjalanan PGL sejak awal pembikinannya.

“Hadirnya Reza bersama Ibu Christine menjadi satu inspirasi besar kepada seluruh keluarga Puteri Gunung Ledang, terutama saya sendiri.

“Christine dan Reza merupakan teman baik saya. Saya pun tidak sangka mereka sanggup meluangkan masa untuk datang menyaksikan persembahan kami. Christine sangat istimewa bagi saya,” katanya.

Bagi Christine, 69, kekuatan utama PGL terletak pada keupayaan Tiara mengekalkan roh dan semangat karya berkenaan selepas lebih dua dekad, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam mengangkat sebuah naskhah yang sarat dengan nilai sejarah dan budaya.

“Saya dapat merasakan energi keseluruhan pementasan ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Tiara selama lebih 22 tahun ini mampu menjaga tenaga dan ‘rasa’ PGL.

“Saya rasa itu hal yang paling sukar,” katanya ketika ditemui pada pementasan malam ke-18 di JCPAC.

Christine turut memuji persembahan Nadia Aqilah dan Mimi Fly yang berkongsi watak Bayan, selain menyifatkan Mila Mohsin yang kini menggalas watak Puteri Gunung Ledang sebagai kesinambungan legasi seni ibunya.

Malah, aktres legenda itu secara berseloroh mengakui yakin Mila mampu membawa karakter berkenaan dengan lebih baik berbanding Tiara.

“Saat tahu Mila akan berperan sebagai Puteri Gunung Ledang, saya yakin dia akan menjadi lebih baik daripada ibunya (Tiara).

“Saya kenal Mila sejak usia dia tujuh tahun, ketika kami menjalani pembikinan filem PGL. Itu sudah 22 tahun lalu dan sekarang Mila berumur 29 tahun.

“Melihat Mila di pentas, dia juga seperti ibunya, sangat serius dan fokus. Saya seperti melihat versi Tiara yang baharu dalam sosok Mila di PGL. Mila persis ibunya,” katanya.

Mahu PGL versi kolaborasi Malaysia-Indonesia

Lebih daripada sekadar sebuah produksi hiburan, Christine melihat PGL sebagai medium penting untuk mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan warisan bersama masyarakat Malaysia serta Indonesia.

Katanya, hubungan kedua-dua negara perlu terus diraikan sebagai sebuah keluarga besar yang berkongsi latar sejarah dan budaya, manakala karya seperti PGL mampu mengingatkan generasi baharu mengenai ikatan berkenaan.

Sementara itu, Reza, 39, menyifatkan pengalaman menyaksikan PGL sebagai sesuatu yang menakjubkan, malah mengakui hampir tidak berpeluang mendapatkan tiket untuk menghadiri pementasan tersebut.

“Indah, menakjubkan. Saya gembira kerana akhirnya dapat menonton PGL, hampir gagal tidak mendapat tiket.

“Saya harus ucapkan terima kasih kepada Ibu (Christine Hakim) kerana beliau mendapatkan tiket buat saya,” katanya.

Aktor itu turut menegaskan kehadiran mereka bukan sekadar untuk memberikan sokongan kepada Tiara, sebaliknya mereka benar-benar mahu menikmati keseluruhan pementasan berkenaan.

Reza turut menyifatkan kejayaan PGL sebagai pemangkin kepada perkembangan industri teater tempatan, khususnya dalam melahirkan lebih banyak produksi muzikal berskala besar.

“Melihat ribuan penonton yang telah menonton dan ribuan lagi yang masih menunggu, saya berharap ini boleh menjadi lokomotif untuk sebarang syarikat teater lain.

“Dengan skala yang dipersembahkan, ini menjadi standard dan semoga ini menjadi harapan serta cahaya di sebalik Gunung Ledang yang boleh mendorong lebih banyak muzikal pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau turut menyimpan hasrat untuk melihat naskhah berkenaan dipentaskan di Indonesia menerusi kerjasama seni antara kedua-dua negara dengan mengetengahkan latar sejarah Melaka dan Majapahit.

“Mungkin jika ia dipentaskan di Indonesia, kita boleh mempunyai keluarga Malaysia sebagai bahagian Melaka. Dan orang Indonesia, semua orang Indonesia, menjadi sebahagian daripada Majapahit.

“Dan itu akan menjadi sesuatu yang menarik. Saya rasa itu akan menjadi sebuah kolaborasi yang indah,” katanya.

Perjalanan PGL bermula menerusi filem Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin yang ditayangkan pada 2004, dengan Tiara membawakan watak Gusti Puteri Retno Dumilah, manakala Christine sebagai Bayan.

Kejayaan filem tersebut kemudian membawa kepada penghasilan PGL The Musical yang mula dipentaskan di Istana Budaya pada 2006.

Selepas melalui beberapa musim pementasan, karya berkenaan kembali ke pentas pada 2026 dengan Mila meneruskan legasi ibunya menerusi watak Puteri Gunung Ledang, sekali gus memperlihatkan kesinambungan seni merentas generasi.

Produksi terbaharu itu turut mencatat sambutan luar biasa apabila kira-kira 23,000 tiket bagi 16 pementasan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam, sebelum satu persembahan tambahan, The Grand Finale, dijadualkan berlangsung pada 17 November ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN