AARON dan Roy King berjaya merangkul gelaran kedua dalam tempoh lebih kurang sebulan dengan menjulang Kumamoto Masters semalam. - AFP

Aaron-Roy King semakin ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEREGU lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King membuktikan kemampuan mereka bersaing di pentas tertinggi apabila merangkul gelaran kedua sejak digandingkan lebih kurang sebulan lalu selepas menjuarai Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun, semalam.

Pada aksi di Gimnasium Kumamoto, beregu ranking ke-57 dunia itu mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan No. 1 Jepun dan ranking ke-10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam pertarungan selama 55 minit.

Kemenangan berharga itu menyaksikan Aaron-Roy King mengulangi kejayaan menjuarai Terbuka Arctic bulan lalu yang juga merupakan kejohanan kompetitif pertama mereka sejak digandingkan.

Lebih manis, kejayaan di pentas bertaraf Super 500 itu turut menyaksikan Malaysia meneruskan aksi terbaik di Kumamoto Masters selepas kali terakhir dimenangi menerusi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada edisi tahun lalu.

Pada set pertama, Aaron-Roy King memulakan aksi dengan cukup garang apabila mendahului 10-3 namun, Hoki-Kobayashi menggunakan pengalaman mereka untuk mengejar mata demi mata sehingga menamatkan set pembukaan 21-16 dalam tempoh 15 minit.

Tersentak dengan keputusan itu, beregu negara kembali memperkemaskan rentak permainan dan kawalan gelanggang lebih kemas sebelum menang 21-13 dalam tempoh 17 minit, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, gandingan tuan rumah cuba tampil agresif, namun Aaron-Roy King terus mengukuhkan penguasaan apabila mendahului 16-6 sebelum memuktamadkan kemenangan 21-15.

“Pada set pertama, memang ada beberapa situasi apabila beregu negara berjaya mengganggu rentak permainan lawan, termasuk membuatkan mereka hilang fokus seketika.

“Memang kami gembira dengan kemenangan ini, apatah lagi dapat meraih gelaran kedua. Hari ini, saya sendiri dapat merasai dan melihat bagaimana situasi (tekanan) sebenar yang berlaku dalam gelanggang,” kata jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai ketika dihubungi Kosmo! sejurus tamat perlawanan.

Terdahulu, Aaron-Roy King mara ke pentas final selepas turut mencuri perhatian dengan menyingkirkan beregu ranking ke-14 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard secara straight set 21-18, 21-18 dalam aksi separuh akhir, kelmarin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN