Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian penyanyi, Aina Abdul yang berjaya menduduki tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026.

Anwar bangga pencapaian Aina Abdul di Eurovision Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian penyanyi, Aina Abdul yang berjaya menduduki tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Aina dan seluruh pasukannya atas kejayaan membawa nama Malaysia ke pentas muzik antarabangsa.

“Alhamdulillah, tahniah Aina Abdul atas kejayaan meraih tempat keempat dalam Eurovision Asia Song Contest 2026.

“Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian Aina dan pasukan yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. Terus terbang tinggi Aina!,” tulisnya.

Dalam pertandingan itu, Aina yang mempertaruhkan lagu Bluest Sky mengumpul 152 mata, sekali gus menduduki tempat keempat daripada 11 negara yang mengambil bahagian.

Kemenangan menjadi milik wakil Filipina, Carmelle menerusi lagu Sobra-Sobra selepas mengumpul 211 mata, manakala wakil tuan rumah, duo MANG x DAOU, berada di tempat kedua dengan 170 mata.

Penyanyi Vietnam, Tóc Tiên pula menduduki tempat ketiga selepas meraih 164 mata.

Sistem pemarkahan pertandingan itu menggabungkan 50 peratus undian penonton dan 50 peratus lagi daripada juri profesional yang mewakili 11 negara peserta.

Aina dipilih mewakili Malaysia ketika Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) pada 15 Ogos lalu, sekali gus membuka ruang buat penyanyi itu memperkenalkan karya muzik tempatan di pentas antarabangsa.

Lagu Bluest Sky yang dihasilkan bersama komposer, Mac Chew dilancarkan pada Oktober lalu sebagai taruhan Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

Eurovision Song Contest Asia diperkenalkan buat julung kali sebagai kesinambungan pertandingan muzik antarabangsa, Eurovision Song Contest yang telah berlangsung selama 70 tahun.

Edisi sulung peringkat Asia itu menghimpunkan penyiar dari 11 negara dengan mengetengahkan kepelbagaian muzik, bahasa dan identiti budaya rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN